Gambar: INGimage
Menjelang hari bahagia, banyak mulut nakal yang mengusik anda tentang malam pertama. Malah, pabila anda kembali ke pejabat selepas bercuti kahwin, soalan mengenai malam bersejarah itu jugalah yang menjadi soalan wajib rakan-rakan terdekat.
Adakalanya, usikan dan soalan-soalan inilah yang membuatkan anda tidak keruan dan berdebar-debar menantikan malam itu. Rasa gusar, keliru dan gementar hadir menghantui. Usir rasa itu dengan membina keyakinan dan keselesaan pada diri. Kukuhkan rohani dan jasmani menjelang malam yang bakal diingati.
Belai Diri
Bersihkan diri, dari kepala hingga ke kaki. Soal kebersihan adalah tunggak untuk mencipta keselesaan pasangan sewaktu anda berdua melayari bahtera. Jika perlu, kunjungi spa untuk rawatan tubuh seperti mandi lulur untuk membuang daki yang melekat di tubuh. Selain itu, beberapa minggu sebelum majlis perkahwinan rajin-rajinkan diri menyapu losen seluruh tubuh untuk mengelakkan kulit kering. Bukankah sentuhan adalah ‘pembuka tirai’ hubungan nan berkualiti? Oh ya, bagi anda yang mempunyai masalah bau badan, cuba cari alternatif untuk melangsaikan masalah yang anda hadapi. Masalah ini antara penyebab ‘suiz’ ghairah pasangan anda mati. Deodoran dan pewangi antara penyelesaian jangka masa singkat.
Berurut
Untuk kesihatan dalaman apa kata kunjungi pusat urutan. Urutan baik untuk memperbaiki perjalanan darah dalam tubuh dan sekali gus mencipta kesegaran dan membuang angin dalam tubuh. Selain itu urutan tenaga batin juga penting bagi bakal mempelai, khususnya mereka yang mempunyai masalah lemah syahwat. Bagi perempuan pula, terdapat khidmat urutan payu dara itu salah satu ‘senjata’ isteri untuk membuka selera suami.
Gigi & Mulut Mesti Bersih
Ciuman antara penggerak utama dalam hubungan intim. Ciuman yang hebat mampu membangkitkan ghairah pasangan. Maka pastikan anda tidak mengenepikan aspek kebersihan gigi, bibir dan bau mulut. Jika perlu berjumpalah doktor gigi beberapa minggu sebelum majlis perkahwinan, lebih-lebih lagi bagi yang giginya berkarat dek kesan menghisap rokok. Selain untuk keselesaan pasangan, bukankah senyuman yang indah sepanjang majlis berlangsung datang dari sebaris gigi yang cantik dan putih?
Pakaian Tidur
Jika selama ini anda hanya selesa tidur berseluar pendek atau berkain batik sahaja, inilah masa terbaik untuk anda menggayakan lingerie. Terdapat pelbagai rekaan daripada variasi jenama di pasaran yang boleh dipilih. Potongan lingerie menyerlahkan tiap lekuk tubuh, dan fabrik satin dan renda mencetus rasa ghairah mata yang memandang. Namun begitu, disarankan anda cuba tidur dengan memakai lingerie beberapa hari (atau minggu) sebelum menjelang perkahwinan supaya diri selesa dengan ‘gaya’ baru ini. Diri anda sendiri perlu selesa sewaktu menggayakannya.
Tingkatkan Ilmu
Lengkapkan dada anda dengan ilmu asas hubungan seks. Jika malu bertanya, jadikan internet sebagai bahan rujukan. Hanya dengan satu klik pelbagai info berkaitan hubungan seks boleh diperoleh. Sekurang-kurangnya anda mendapat gambaran apa yang bakal berlaku pada malam pertama nanti. Pelajari juga tip-tip mencipta hubungan intim yang berkualiti. Oh ya, ketahui juga adab sebelum, sewaktu dan selepas hubungan seks yang disarankan di dalam Islam.