Gambar: INGimage
Komitmen percintaan, atau lebih tepat lagi perkahwinan memerlukan keseimbangan dan juga pengorbanan dari kedua belah pihak. Ramai antara kita, tidak kira lelaki atau perempuan hanya mampu menerima kelebihan, kecantikan serta kehebatan pasangan dan berpaling tatkala mengetahui kekurangan yang ada pada dirinya.
Pernah beberapa tahun lepas saya diberi tugas menemu ramah pejuang kanser yang kebanyakannya berusia lingkungan 50 tahun ke atas. Sudah sebaya ibu saya lagaknya. Bertemu dengan mereka adalah perkara yang benar membuka mata saya mengenai kesihatan diri wanita. Bagi saya, mereka adalah wanita yang begitu kuat dalam menghadapi cabaran hidup. Tidak semua ada kekuatan seperti mereka yang bertindak sebagai ibu dan juga isteri.
Dalam kesemua kes mereka, saya tertarik untuk berkongsi pengalaman saya bersama Kak Siti (bukan nama sebenar). Pagi itu, saya tiba di rumahnya iaitu rumah kos rendah jenis flat di Kuala Lumpur. Usang benar keadaan bangunan, namun sebaik melangkah masuk ke rumahnya, ia menenangkan jiwa dengan hiasan serba sederhana dan kebersihan sekeliling terjaga serta tersusun rapi. Wajah Kak Siti yang sentiasa tersenyum itu penuh dengan kelembutan, mengajak saya makan itu dan ini serta berkongsi rahsia masakan yang begitu menyelerakan. Tawanya benar menggembirakan.
Ketika perbualan dialihkan kepada perjuangan kansernya, mata Kak Siti berubah sayu. Dia benar tidak sangka menghidapinya kerana tiada seorang pun dari ahli keluarga yang menderitai penyakit sama. Dia masih ingat ketika kali pertama didiagnosis kanser, berpunca dari dia pengsan secara tiba-tiba ketika sedang melakukan kerja rumah. Anaknya membawa dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan benar mengejutkan apabila mengetahui dia punyai kanser payudara tahap dua.
Akui Kak Siti, berhari-hari dia tidak dapat tidur malam dan menangis dan mempersoalkan mengapa dia menerima ujian sebegitu rupa. Ada ketika dia menyalahkan takdir dan kuasa Tuhan. Dia tahu itu salah, namun dek kesempitan hidup dan takutkan kematian serta azab sakit, Kak Siti seakan jadi hilang punca.
Bukan mudah untuk menerima hakikat namun akhirnya Kak Siti pasrah. Dia memulakan rawatan kemoterapi setiap bulan bagi mengelakkan sel kanser merebak lebih jauh. Kehidupan dan rupa fizikalnya berubah secara 360 darjah. Dia meraung setiap kali gugurnya rambut dengan banyak dan memperlihatkan keadaan kepala yang semakin botak. Dia menjerit kesakitan ketika proses rawatan berlaku. Muntah sudah jadi sebahagian dari aktiviti hariannya.
Bukan 1 pil ditelan setiap hari, tetapi hampir 15 biji dan ada antaranya menjadikan selera makan Kak Siti berkurang. Walau telah banyak kesusahan yang dihadapi, penyakitnya tetap merebak dan ini menyebabkan doktor membuat keputusan untuk membuang payudara kanannya agar ia tidak berjangkit kepada organ badan yang lain. Jika merebak, ia boleh menyebabkan kanser pada kedua-dua belah payudara dan juga mengakibatkan kerosakan buah pinggang.
Jika ditanya pada semua wanita, apakah mereka mampu kehilangan payudara dan pastinya jawapan adalah tidak. Ia adalah lambang keyakinan diri. Kalau pun tidak untuk dipertonton pada umum, ia adalah lambang kewanitaan seorang isteri kepada suaminya. Sudah tentu keyakinan diri tercalar. “Masih cantikkah aku? Kalau tiada payudara, adakah dia boleh punya rasa nafsu padaku?” Keputusan doktor Kak Siti terima dengan separuh hati, antara rasa takut mati dan juga takut suami tidak sukakannya lagi.
Tuhan adalah sebaik baik perancang. Jangan pernah takut kehilangan cinta manusia kerana ia tidak pernah kekal. Bagi membuka mata Kak Siti mengenai kekuasaan Tuhan, abang Leman, suami Kak Siti mengakui yang dia sudah tawar hati dengan perkahwinan mereka. Dia berkenalan dengan seorang wanita berusia 30-an dan sejak itu dia jatuh cinta.
Sampainya hati Abang Leman. Manusia jenis apakah dia meninggalkan isteri keseorangan tatkala musibah hadir mencabar hidup. Ketahuilah manusia apabila jatuh sakit memerlukan sokongan bukan saja dari segi fizikal mahupun kewangan, malah moral dan kasih sayang yang menjadi ubat utama dimana ia mampu merawat segala. Apa yang berlaku kepada Kak Siti? Dia benar patah hati.
Suaminya tidak mahu menjaganya ketika sakit dan memberi alasan duit gajinya tidak mampu untuk menanggung perubatan yang menelan kos sehingga ribuan ringgit. Tinggallah satu satunya anak lelaki untuk dia bergantung harap dan mengharap kasih. Kak Siti turut berdaftar dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) yang turut membantu dia dari segi sokongan wang ringgit dan juga moral.
Ketika sesi wawancara berlaku, saya benar sebak dengan cerita hidupnya. Menurut Kak Siti dia pernah bertanyakan mengapa Kak Siti ditinggalkan walhal abang Leman pernah berjanji untuk sehidup semati dengannya, menjaga perkahwinan yang berasaskan cinta anak remaja sedari 30 tahun dahulu serta meraikan hidup tua bersama. Namun dengan selamba abang Leman berkata yang Kak Siti tidak mampu memenuhi nafkah batin yang dia perlukan.
Wanita itu tidak lagi mampu berhias untuknya. Menyakitkan mata melihat wajah sakit Kak Siti dan keadaan rumah yang bersepah dan tidak teratur seperti dulu. Abang Leman mahukan seseorang yang mampu melayan serakah nafsu lelakinya dan juga menjaga dirinya ketika tua.
Mungkin Abang Leman tidak sedar akan keadaan fizikalnya yang juga mulai kerepot dimakan usia. Perut buncit dan misai tebal, tidak langsung sama seperti 30 tahun lepas yang bagai hero Hindustan kacak bergaya. Kalau ikutkan, Kak Siti juga tidak berselera untuk tidur sekatil dengan lelaki yang berdengkur kuat bagai bunyi bot. Namun kerana rasa cintanya pada lelaki itu dan atas rasa hormat kepada seorang suami, dia butakan mata dan menerima dia apa adanya.
Orang kata, mudah dapat, mudah juga untuk kehilangannya. Abang Leman terlalu taksub mencari pucuk muda yang cantik dan mengharapkan agar isteri barunya itu mampu hidup susah senang dengannya. Untunglah jika bertemu dengan wanita yang benar baik dan mencintai dirinya. Bagaimana kalau wanita itu hadir tatkala hidup Abang Leman dalam kesenangan dek duit pencen yang berpuluh ribu itu, tetapi berlalu pergi apabila hidup Abang Leman dirundung malang? Kekasih sejati adalah mereka yang bersusah payah dan bangkit bersama ketika dalam susah dan meraikan limpahan rezeki dengan penuh rasa syukur bersama.
Hidup mereka bukanlah senang ketika berhijrah dari kampung dan memulakan kehidupan di Kuala Lumpur. Ada ketika mereka terpaksa menebalkan muka untuk menumpang tinggal di rumah entah siapa-siapa. Keluarga dan sanak saudara semua jauh, jadi dengan siapa mereka ingin mengadu nasib? Abang Leman bekerja sehingga tiga pekerjaan dalam satu masa bagi menampung hidup di kota. Kak Siti pula dek kerana tiada kelulusan tinggi maka sukar untuk mendapat pekerjaan, justeru dia mengambil upah mengopek ikan untuk kantin.
Bayangkan beratus ikan sehari untuk dikopek dan entah berapa kali tangannya luka teruk akibat duri. Ketika dia bercerita perihal itu, Kak Siti memandang sayu kedua tapak tangannya yang berbirat dan kelihatannya kasar tanpa penggunaan losen mahupun pewarna kuku. Dia meraup wajah dan cuba menahan esak tangis, lambang kesayuan hatinya yang amat sangat.
Ketika sesi perbualan berlangsung, secara tiba-tiba ada seorang lelaki memberi salam dari kejauhan dan muncul di muka pintu dengan senyuman. Dia memperkenalkan diri sebagai Sulaiman. ‘Oh, inilah suami Kak Siti,’ detik hati saya, jengkel. Kak Siti segera menyeka air mata yang tersisa dan meluru untuk bersalam dengan suaminya. Setelah memperkenalkan kehadiran saya, Kak Siti menjemput agar suaminya minum. Dia bertanya perlahan, apakah isteri mudanya tidak kisah dia hadir ke sini dan abang Leman hanya tersenyum.
“Dia tak kisah. Glamor sikit masuk majalah,” terkekek dia ketawa. Kak Siti hanya tersenyum tawar. Ketika itu, meluap-luap marah saya kepada lelaki bernama Sulaiman itu. Sesi wawancara diteruskan dengan sesi fotografi dan temu bual ringkas bersama abang leman. Selepas tamat, dia meminta diri untuk pulang. Bukankah rumah ini juga rumah dia? Mengapa perlu terburu begitu sekali?
Setelah menghantar suaminya di muka pintu dan melihat dia pergi, Kak Siti pegang erat tangan saya. “Cukuplah awak berkongsi kisah penderitaan sakit akak pada dunia. Tolong sembunyikan kisah abang Leman yang berkahwin lain. Walau apa berlaku, dia masih suami akak,” perlahan wanita itu bersuara.
Jika diikut hati muda saya ketika itu, mahu saja saya tulis mengenai sikap tidak bertanggungjawab abang Leman dan dedahkan pada dunia betapa Kak Siti menderita.
Sudah banyak kali saya berdepan dengan situasi ini dimana saya pernah mewawancara seorang penghidap HIV yang mendapat penyakit membunuh dan dianggap hina pada mata manusia ini daripada suaminya yang sering melanggan pelacur tanpa pengetahuannya. Dia seboleh mungkin berkata ini adalah takdirnya dan mohon agar tidak ditulis mengenai itu. Walau sehebat mana pun lelaki menghancurkan hidup, jika sudah cinta, tidak mengapa, sanggup mereka untuk tanggung segala. Adakah ini adalah kebodohan wanita atau tanggungjawab yang perlu dipikul seorang isteri?
“Tidak bosankah hidup seorang diri?” Tanya saya apabila menyedari kesunyian memerangkap suasana rumah ketika itu.
“Akak bukan seorang diri, akak ada Tuhan. Malah akak cuba untuk menghadiri kelas-kelas agama bagi mengisi ilmu yang selama ini akak tidak pernah ambil peduli,” Kak Siti tersenyum. Dia turut menyatakan sejak mendaftar diri menjadi ahli MAKNA, dia punyai teman yang juga menderita penyakit sama serta pejuang-pejuang yang sudah pulih dari penyakit membunuh ini. Mereka memberi sokongan, berkongsi ilmu pengetahuan dan dia jadi lebih bersemangat untuk meneruskan hidup walau tanpa abang Leman di sisi.
Perbualan kami diakhiri dengan bait kata yang tidak saya lupa sehingga ke hari ini, “Kalau akak biar ikut rasa dan tak cari cara lain untuk bahagia, akak pasti dah mati. Bukan sebab penyakit ini, tapi sebab akak sunyi dan hidup salahkan Tuhan serta diri sendiri.”