Gambar: 123RF
Pada Januari 2014, Malaysia dikejutkan dengan penahanan sepasang ibu bapa Melayu Islam yang ditangkap di Sweden akibat memukul anak mereka kerana tidak menunaikan solat. Anak berusia 12 tahun itu mengadu apabila ditanya gurunya di sekolah. Dalam masa 24 jam, kedua suami isteri itu ditahan di kediaman mereka. Suami ditahan selama 10 bulan dan diperintah membayar pampasan kepada anak-anak sendiri dengan jumlah RM18,367 serta isterinya pula ditahan selama 14 bulan di penjara Sweden dan pampasan perlu dibayar sebanyak RM33,909.
Seperti yang tertera di dalam undang-undang, Sweden adalah negara pertama yang melarang anak dihukum melalui fizikal. Ini diikuti oleh New Zealand, Kenya dan Norway – tidak kira agama apa pun sekali yang mereka anuti. Ibu bapa di Sweden secara tidak langsung diketepikan hak mereka sebagai ketua keluarga, manakala pihak berkuasa, kerajaan serta institusi pendidikan memonopoli pembangunan anak mereka.
Semua keputusan yang melibatkan anak perlu berlandaskan keinginan dan persetujuan mereka. Seorang peguam kelahiran Sweden, Ruby Harrold-Claesson adalah peguam hak kemanusiaan antarabangsa. Dia memperjuangkan hak ribuan ibu bapa yang cuba membantah undang-undang merosakkan ini. Menurut wanita ini, undang-undang ini tidak sesuai untuk diaplikasi dalam masyarakat bertamadun kerana ia menyebabkan hubungan tidak sihat antara ibu bapa dan anak, malah melahirkan generasi yang tidak mempunyai rasa hormat serta adab yang betul.
Menurut Islam, adalah tidak mengapa untuk merotan anak untuk diberi pengajaran terutamanya apabila menyentuh bab solat. Di situlah terjadinya percanggahan yang berlaku antara keluarga Islam Malaysia itu dan pihak kerajaan Sweden yang mendapat liputan dan perhatian meluas daripada masyarakat Malaysia.
Tetapi, awal tahun 2015, Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan agar tindakan merotan anak diklasifikasikan sebagai satu kesalahan jenayah dalam akta baharu yang dijangka dibentangkan di Parlimen selewatnya Jun tahun ini.
Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berkata, hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan Malaysia memandangkan negara telah menandatangani Konvesyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1994. Cadangan ini dibantah oleh pakar psikologi, pakar kanank-kanak, undang-undang dan agama kerana bisa mewujudkan generasi yang tidak berdisiplin.
Sukar untuk menetapkan cadangan undang-undang baru ini ada kebenarannya atau tidak kerana tidak semestinya apabila dipukul itu menandakan ibu bapa tidak punya rasa kasih pada anak mereka. Tanyalah kepada generasi sebelum kita yang tinggal di kampung dan sudah biasa dihambat dengan pelepah pisang dek kedegilan masing-masing. Ayah saya sendiri biasa dipukul dengan bapanya kerana sebagai anak lelaki yang membesar di kampung, keseronokan dan kenangan itu tidak setanding dengan badan yang berbirat dek rotan.
Apabila sudah dewasa, tidak pernah pula ayah membenci datuk, malah menyayangi dia lebih dari segalanya. Ada juga yang menyatakan, jika ibu bapa mereka tidak merotan ketika mereka membesar dahulu, sudah tentu mereka tidak akan mengecap kejayaan kerjaya dan kehidupan pada masa kini. Pernah saya bertanya, bagaimana mampu kita kekal menyayangi dan mengucup kasih tangan ibu bapa yang tegar memukul anak sendiri?
Tertarik saya dengan jawapan salah seorang teman, “Walau tangan itu yang memukul aku sampai berbirat badan, tetapi tangan itu jugalah menyuap makanan agar aku kenyang, tangan itu yang mengusap ubunku sehingga tertidur malam, tangan itu jugalah yang bekerja keras mencari rezeki agar aku tinggal di pondok berlindung dari hujan panas.”
Jelas, tidak mengapa untuk mendidik anak menggunakan sedikit kekerasan akibat kedegilan anak itu sendiri, tetapi rawatlah kembali dengan perhatian dan kasih yang tiada penghujungnya buat anak-anak. Jangan pula dipukul melulu tanpa sebab dan tidak pula mencurahkan sayang seperti yang diperlukan. Mulut saya sendiri pernah disumbat cili api dan ditampar sehingga berdarah kerana gemar menjerit dan mengucap bodoh kepada adik-adik. Sejak dari hari itu, langsung tidak saya ucap bodoh mahupun menjerit, malah saya layan adik-adik dengan lebih baik.
Masih segar dalam ingatan, dan ia menjadi penguat agar saya tidak bertindak biadab dengan orang lain. Malah, saya jadikan ibu sebagai kawan baik sehingga ke hari ini.
Menurut Islam, merotan atau memukul anak perlu, tetapi mengikut syarat yang ditetapkan sunnah. Antara syaratnya adalah merotan tidak lebih 3 kali, tidak terlalu kuat hingga meninggalkan kesan, memukul di tempat berbeza-beza (ada ulama mencadangkan memukul di tapak kaki), semua kawasan badan kecuali kemaluan dan muka, serta beberapa lagi syarat yang langsung tidak memudaratkan.
Pernah rakan wanita saya yang sudah punyai anak datang bertandang di rumah. Anak lelakinya putih melepak dan begitu comel sekali, memikat hati kami sekeluarga. Biasalah budak-budak, begitu suka bermain dengan pintu dan barang di sekelilingnya. Ketika ibunya ke tandas, saya menegur lembut sambil tersenyum agar tidak bermain dengan pintu, bimbang tangannya tersepit. Reaksi spontannya benar mengejutkan saya. Dia menjegilkan mata sambil menjerit kuat, “F**k You!”
Saya beristighfar panjang. Anak seusia tiga tahun itu tahukah maksud di sebalik apa yang diucapkannya? Saya tidak ingin menyalahkan sesiapa, tetapi ketahuilah anak kecil mudah menyimpan apa yang berlaku di sekelilingnya dengan baik ke dalam memori. Ada juga di kalangan rakan yang tidak betah menegur anak mereka apabila mereka bersalah.
Saya melihat sendiri ada teman hanya mencium dan menolak perlahan apabila anaknya menendang kepala ibu dan bapanya tanda memberontak. Tidak kedengaran TIDAK mahupun JANGAN, apatah lagi pukulan perlahan atau rotan. Ada pepatah pernah mengatakan, melentur buluh biar dari rebungnya. Mendidik anak perlu dari kecil dan bukan sudah besar panjang barulah ingin ditegur akan kesalahan mereka. Tunjukkan apa yang betul sejak dari kecil, lalu itulah yang dijadikan pedoman untuk mereka sehingga dewasa kelak.
Di sebalik kesalahan mereka dan rotan sebagai hukuman, siapakah yang bertanggungjawab dalam kesalahan yang mereka lakukan? Ibu bapa. Saya faham, ibu bapa kini semakin sibuk mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak. Kalian bekerja juga untuk mereka hidup senang pada masa hadapan. Tetapi, setimpalkah wang itu dengan adab dan perilaku mereka yang tidak menghormati orang lain serta ralit dalam sikap memberontak?
Saya juga punya anak, sekecil 9 bulan ketika artikel ini ditulis. Pernah saya berazam (ketika belum berkahwin dahulu) bahawa saya tidak ingin membiasakan anak dengan gajet yang boleh merosakkan deria. Mencebik saya melihat anak kecil yang sibuk bermain iPad dan tidak mengendahkan apa yang berlaku di sekelilingnya. Namun kini, ia berlaku kepada anak saya sendiri.
Suatu hari, ketika sibuk dengan kerja menaip di komputer, saya melihat jari kecilnya ralit menyentuh skrin iPhone. Saya memarahi anak kecil yang semestinya tidak tahu langsung apakah kegunaan iPhone itu. Tiba-tiba, saya tersedar kesalahan sendiri. Kesibukan kerja membuatkan iPhone sentiasa di tangan. Mata saya tidak langsung lekang dari melihat dan jari sentiasa bermain di atas skrin, walau ketika anak kecil di sisi.
Saya sangka dia tidak tahu apa-apa, lalu saya biarkan sahaja dia bermain dengan anak patungnya walhal saya sibuk membelek instagram, e-mel mahupun Facebook; tanpa saya sedari dia punya mata untuk melihat segala perilaku saya.
Pernah saya terbaca artikel bahawa anak kecil akan meniru perbuatan orang yang disayanginya (dan semestinya ibu bapa) kerana itu adalah simbol dia mengagumi dan menyayangi kita. Dia mahu suka apa yang kita suka dan anak saya mahu tahu apa yang seronoknya iPhone berbanding dia di sisi. Bergenang air mata saya. Anak saya hanya inginkan saya dalam hidupnya, tetapi saya lebih rela memilih kesibukan kerja dari dia. Wahai ibu dan bapa sekalian, sudahkah kalian merenung wajah, mencium dahi dan memeluk erat anak-anak kalian hari ini?