Gambar: 123RF
Definisi sahabat itu menurut Kamus Dewan adalah mereka yang rapat dan mempunyai hubungan yang baik. Pertalian yang terjalin itu tidak mudah putus, penuh dengan sifat percaya antara satu sama lain dan dipenuhi dengan kenangan susah payah bersama. Tidak kira istilah ini diaplikasi dalam apa bentuk perhubungan pun. Tetapi, berapa ramai antara kita yang benar faham akan definisi ini?
Saya dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang agak berada. Makan pakai sentiasanya cukup dan kadang melebihi apa yang patut. Abah akan pastikan kesemua kelengkapan kami tersedia rapi, tidak kira dari segi apa pun. Ke sekolah dihantar dan dijemput pulang, apa juga jenis permainan yang kami mahukan dibeli tanpa ada rasa ragu jika duit untuk keperluan lain tidak mencukupi.
Momen itu dirasakan yang paling indah dalam sejarah kehidupan saya sebagai gadis berusia 13 tahun. Sebagai anak sulung, saya kira beruntung kerana tidak perlu diberi tanggungjawab untuk menjaga kebajikan adik-adik atau membantu ibu di rumah kerana segalanya sudah ada buat kami. Apa yang menjadi tumpuan utama hidup saya adalah belajar dengan rajin untuk gred cemerlang dan menikmati kehidupan tanpa rasa susah.
Pada tahun 2000, Malaysia mengalami pembaikan ekonomi dan keadaan kewangan penduduk di kawasan bandar pada masa itu semakin pulih. Semua ini berikutan kemelesetan ekonomi yang jatuh secara mendadak pada tahun 1998. Teknologi juga semakin berkembang pada masa itu. Abah adalah seorang usahawan yang bermula dari kecil-kecilan dan pada waktu itu sudah boleh berbangga dengan apa yang dikecapi. Ideanya kreatif memikirkan perkara baru dan apa yang saya tahu, dia akan realisasikan idea itu jika ada modalnya.
Abah berfikiran jauh untuk memulakan perniagaan menjual dan membaiki telefon bimbit. Rata-rata pada waktu itu kesemua peniaga telefon bimbit adalah penduduk Malaysia berbangsa Cina. Mengapa orang Melayu tidak mahu bangkit untuk melakukan perniagaan yang menguntungkan ini dengan kudrat sendiri? Lantas, dengan sedikit modal, abah mulakan perniagaan bersama sahabat baiknya, Rahman dan juga adik lelakinya, Jaafar.
Pakcik Rahman mempunyai kepakaran dalam bidang elektronik dan kebanyakan masanya banyak dihabiskan di kedai telefon mereka. Abah pula adalah penyumbang utama modal. Dia mempunyai jaringan kenalan yang luas dan pengaruh yang hebat di kalangan pengeluar pelbagai jenama telefon bimbit.
Perniagaan ini berlangsung hebat dan mendapat sambutan yang menggalakkan, terutamanya daripada orang Melayu.
Sekelip mata, perniagaan telefon ini mengaut keuntungan besar sementelah ia adalah satu-satunya perniagaan telefon bimbit oleh orang Melayu di Shah Alam. Ada juga mereka yang dari Kuala Lumpur dan negeri lain datang dek perkhidmatan yang disediakan. Selain telefon bimbit, abah turut menyediakan kafe kecil dalam kedai itu untuk menikmati hidangan Johor yang enak hasil tangan ibu yang memang terkenal dengan kepakaran memasaknya.
Masih segar di ingatan saya bilamana saya dan adik-adik bermain dengan telefon bimbit yang bagai batu bata bentuknya. Pada waktu itu, bukan semua mampu untuk menggunakan telefon bimbit. Dan masih ramai yang menggunakan telefon awam sebagai medium utama telekomunikasi. Abah sendiri mempunyai tiga telefon bimbit untuk kegunaan peribadinya.
Ya, waktu itu adalah waktu terhebat buat kami. Abah sentiasa tiada di kedai, lalu pakcik Jaafar dan Rahman yang mengendalikan susur galur duit keluar masuk. Abah punyai pekerjaan sampingan sebagai tutor di sekolah seni di Kuala Lumpur. Walau abah sentiasa tiada di kedai dan di rumah, kami bahagia dengan kemewahan yang dikecapi. Sehinggalah, kepercayaan abah dikhianati rakan sendiri.
Pada suatu hari, kecoh di kedai bilamana isteri pakcik Rahman mengamuk kerana suaminya ada perempuan simpanan. Terpaksa abah menutup kedai pada hari itu dan biar mereka selesaikan masalah sendiri. Keesokannya, kami semua bergerak ke Pahang untuk menyertai ekspo. Abah ambil gerai besar untuk menjual telefon bimbitnya. Apa yang menariknya, pengunjung akan membeli token daripada penganjur dan itu bagaikan duit untuk mereka membeli belah di ekspo yang diiktiraf kerajaan. Ya, itulah cara yang popular ketika zaman itu. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan.
Hampir 60 peratus telefon bimbit dijual melalui penggunaan token. Dan apabila tiba masa untuk abah tukarkan token dengan duit, kekecohan berlaku dimana Menteri Kewangan Malaysia pada masa itu ditahan dan didakwa terlibat dalam rasuah. Saya nampak abah jatuh melutut di pejabat polis dalam hingar manusia yang marah kerana mereka tidak boleh mendapatkan wang mereka kembali. Abah genggam token yang tiada nilai itu. Ada mereka yang pengsan dan ada juga yang menangis kerana mereka jatuh muflis.
Satu demi satu masalah menimpa abah. Beberapa minggu selepas itu, kami ke Kelantan pula untuk berniaga telefon bimbit. Ketika bangun pagi, terkejut kami kerana telefon bimbit yang diletakkan di dalam van besar syarikat hilang! Dianggarkan abah rugi puluhan ribu akibat kehilangan itu. Apa yang pelik, hanya ada sedikit kesan umpilan dan kunci dipegang pakcik Rahman. Apabila ditanya, pakcik Rahman selamba menjawab kunci hilang dan dia lupa untuk memberitahu abah. Polis yang menyiasat mengatakan kejadian itu seakan didalangi orang dalam. Abah masih sabar.
Saya nampak riak wajah pakcik Jaafar yang memaki dan seakan ingin menumbuk pakcik Rahman. Sudah berturut-turut saya lihat kekusutan demi kekusutan yang berlaku dalam perniagaan abah ini.
Kemuncak masalah berlaku selepas seminggu kes kehilangan telefon. Pakcik Rahman menghilangkan diri. Apa yang paling menyedihkan, dia membawa bersama kesemua keluarganya secara senyap dan berpindah entah ke mana. Di sebalik pintu kayu yang berkeriut, saya nampak ayah menangis melihatkan buku-buku rekod serta surat hutang kerana pakcik Rahman tidak membayar wang kepada pengeluar dengan jumlah wang sepatutnya.
Pecah tembelang bilamana pakcik Rahman yang abah percaya untuk menguruskan wang syarikat menggunakannya untuk berjoli bersama perempuan simpanan. Abah yang saya tahu bukanlah cengeng sebegitu. Tidak pernah saya lihat dia menangis. Lelaki garang itu walau keras perlakuannya namun tetap lembut dan penuh kasih dalam jiwa.
Sejak momen itu, bermulalah episod baru dalam hidup kami sekeluarga. Kedai terpaksa dicagar untuk dijual kerana abah tidak mampu untuk menampung sewa. Makanan di rumah dicatu dan tiada lagi hidangan enak seperti daging mahupun ayam. Kami makan ikan bilis dan kicap dek tiada cukup wang. Abah jual kereta bagi mendapatkan wang untuk membayar hutang yang begitu banyak jumlahnya.
Perubahan hidup ini benar beri impak pada hidup saya dan adik-adik. Sifat naif saya mungkin menyiat hati ibu dan ayah bilamana saya berkeras tidak mahu naik van kecil dan buruk untuk ke sekolah. Van itu adalah kepunyaan syarikat untuk mengangkut barang. Tiada kerusi dan kami perlu duduk di lantai van. Untuk ibu dan ayah, itu adalah perkara kecil kerana mereka juga pernah hidup susah tetapi tidak kami yang sudah biasa senang. Saya menangis tatkala ibu menghulurkan 50 sen untuk belanja walhal nasi lemak di sekolah pada waktu itu berharga 90 sen. Di mana saya ingin cari lebihan 40 sen untuk menikmati nasi?
Abah menanggung hutang sehingga ke hari ini. Separuh dari hutang yang berjumlah ratusan ribu itu diselesaikan dengan bantuan datuk dalam hasil jualan tanah pusaka. Namun separuh lagi masih ‘mengikuti’ abah walau ke mana dia pergi. Momen yang paling menyedihkan apabila abah beli telefon bimbit baru berjenama Samsung dengan skrin sesentuh beberapa bulan lepas. Terkial kial mengendalikan telefon walhal dia adalah antara pengusaha perniagaan telefon bimbit yang popular suatu waktu dulu.
“Kalau abah masih ada kedai, abah dah pakai 5 telefon dan tak bodoh macam ni.”
Saya tahu dia cuba berseloroh namun tidak saya rasa kelakar. Mengapa dia dibalas begini oleh pakcik Rahman walhal abahlah yang mengajak dia untuk bekerja bersama ketika pakcik Rahman dibuang kerja dahulu dan merempat. Jika ditikam dengan pisau, semestinya terlihat jelas darah memercik menandakan kesakitan yang amat sangat. Namun, jika ‘ditikam’ atas dasar khianat, darah dan sakitnya tidak nampak dek mata kasar.
Mahu tahu apa yang terjadi pada pakcik Rahman? Raya lepas, rumah kami didatangi sekumpulan orang. Salam diberi dan alangkah terkejutnya apabila mengetahui itu adalah pakcik Rahman sekeluarga. Selepas menghilangkan diri selama 20 tahun, dia melangkah masuk ke rumah kami bagai tiada apa yang berlaku. Senyuman dan ketawa menghiasi perbualannya. Ibu dan abah terpana, namun tetap melayan tetamu yang tidak diundang itu untuk berkongsi makan dan rezeki apa yang ada.
Sejam kemudian, pakcik Rahman meminta diri untuk pulang. Dan bait kata yang tidak akan saya lupa sehingga ke hari ini, “Kita 0-0 la ya. Maaf zahir batin. Selamat hari raya!”
Ketawa yang saya dengar dari mulutnya benar menyakitkan hati. Senangnya mulut mengatakan kosong kosong itu. Abah yang menanggung derita hutang sehingga akhir hayatnya. Kami yang terpaksa mewarisi hutang itu dek sikap mementingkan diri pakcik Rahman. Saya benar terkejut dia masih mampu menunjukkan muka kepada kami dan seakan tidak bersalah akan kes khianat yang dilakukan.
Susah untuk mempercayai orang sekeliling yang menggelar diri mereka kononnya sahabat baik. Jika benar anda adalah sahabat, peliharalah hubungan itu. Jangan sesekali menikam belakang kerana sakitnya hanya Tuhan yang tahu.