Oleh: Farhana Fuad
Selama beberapa minggu melalui perjalanan pertandingan AirAsia Runway Ready Designer Search 2015, akhirnya semalam 10 finalis pereka muda yang terpilih berpeluang memperaga hasil kerja mereka di KL Fashion Week 2015 Ready To Wear 2015.
Barisan pereka fesyen muda yang datang dari kolej fesyen tempatan telah mengetengahkan hasil rekaan masing-masing yang bertemakan Asean dalam setiap karya mereka menterjemah elemen yang diberikan oleh penganjur. Kesemua mereka telah melalui beberapa peringkat saringan sebelum berpeluang untuk muncul di pentas fesyen yang paling dinantikan ini.
Lee Bao En, penuntut dari Universiti UCSI merangkul gelaran juara dengan membawa pulang sepasang tiket penerbangan pergi balik ke Tokyo, 60,000 BIG Points, sebuah komputer riba Dell Inspiron 11 3000 dan jaminan slot bagi memperaga koleksi penuhnya di KL Fashion Week 2016 nanti.
Manakala pemenang bagi tempat kedua, Shazmin Hashim menerima sepasang tiket penerbangan ke Sydney berserta 60,000 BIG Points, trofi dan sebuah komputer riba Dell Inspiron 11 3000. Pemenang bagi tempat ketiga, Ter Mei Ching membawa pulang sepasang tiket penerbangan ke Hong Kong, 33,000 BIG Points, trofi serta sebuah unit komputer riba Dell Inspiron 11 3000.
Menurut Lee Bao En, dia menghasilkan rekaannya buat pentas KL Fashion Week 2015 dengan berinspirasikan budaya serta keunikan dari Angkor Wat, Kemboja serta berdasarkan penduduk di negara itu. Lee Bao En berbesar hati dengan diberi peluang untuk mementaskan koleksinya di KL Fashion Week 2015.
Bukan itu sahaja, Lee Bao En yang bergelar juara kali ini turut bertuah apabila diumumkan untuk dilatih oleh Jovian Mandagie bagi terus menerima pengalaman industri fesyen yang sebenar bersama beliau dan pasukan beliau di House of Jovian Mandagie.
Jovian Mandagie adalah salah seorang juri di buat program pencarian pereka fesyen muda AirAsia ini bersama Aireen Omar, Ketua Pegawai Ekskutif AirAsia Berhad, Andrew Tan, Pengasas Kuala Lumpur Fashion Week RTW, Khoon Hooi, dan Khairul Abidin Ishak, Editor Majalah EH!
Dengan usaha dari AirAsia ini, ianya sedikit sebanyak membuka platform untuk pereka fesyen muda bagi mereka memulakan perjalanan impian mereka dalam industri fesyen tanah air.
EH! kongsi gambar sekitar AirAsia Runway Ready Designer Search 2015.