Gambar: INGimage
Ketika saya sedang asyik membelek majalah ini di sebuah toko buku di ibu kota, ada sekumpulan gadis juga sedang membelek majalah sama. Satu persatu diselak dan pujian demi pujian diutarakan demi melihatkan kolum fesyen dan kecantikan yang begitu menarik serta berinformasi. Tersenyum lebar saya mendengarkannya kerana bangga dengan majalah yang saya dan teman penulis lain usahakan ini mendapat sambutan baik pembaca. Ketika mereka tiba di kolum Kisah Benar, salah seorang mereka mempersoalkan apa yang ditulis, adakah benar atau sekadar imaginasi penulis.
Wahai pembaca, pokok tidak akan bergoyang jika tiada angin yang menggerakkannya. Begitu juga buat penulis, jika tiada bahan atau cerita, masakan boleh kami menulis dengan lancar tanpa idea yang menjadi permulaannya. Tulisan saya di kolum ini adalah berdasarkan kisah yang saya alami atau pemerhatian pada tingkah laku orang sekeliling. Atau pun dari cerita orang mahupun pembacaan sendiri. Saya tidak marah, jauh sekali berkecil hati dengan kata-kata gadis tadi. Orang lain tidak tahu apa yang kita alami, melainkan diri sendiri yang cuba mengekspresikannya.
Apabila disebut mengenai marah, ada cerita yang ingin saya kongsi mengenai meroyan. Ramai yang menganggap meroyan hanya dialami wanita selepas bersalin dek tekanan mahupun perubahan hormon yang melampau. Namun, ia boleh dialami oleh sesiapa sahaja yang mengalami tekanan perasaan dan tidak mendapatkan bantuan profesional untuk menanganinya. Meroyan, atau lebih dikenali sebagai kemurungan dari segi klinikal, lebih-lebih lagi pada wanita boleh menyebabkan pelbagai masalah yang berbangkit. Jika dibiarkan, ia bisa membuatkan pesakit hilang pertimbangan diri dan hanyut dalam dunia sendiri.
Suatu Ahad ketika saya dan keluarga sedang berehat malas dek cuaca yang begitu terik di luar, kami terdengar suara kuat wanita memanggil nama adik kami berulang kali. Ibu dan ayah deras keluar dan terlihat seorang wanita berbadan sedikit gempal menghampiri pintu pagar dan meluru masuk ke pintu hadapan rumah. Dia terseringai ketawa sambil menyatakan rasa penatnya berjalan kaki yang kami tidak tahu dari arah mana datangnya.
Saya dapat lihat nafasnya tercungap-cungap sambil dia berceloteh bertanyakan itu dan ini kepada ibu. Peluh mericik banyak di wajahnya yang dihiasi dengan solekan rona terang sebagai pembayang mata. Tertanya saya sendiri bagaimana dia boleh sanggup untuk berjalan kaki dalam terik panas sebegitu sambil membimbit 2 beg besar dan tas tangan?
Semakin lama, semakin dekat dia dengan pintu rumah dan mendesak agar dapat masuk akibat cuaca panas itu. Tidak pernah saya melihat perilaku manusia sebegitu. Saya agak jengkel dengan situasi kerana ada ahli keluarga saya yang sedang tidur di ruang tamu dan kami tidak begitu bersedia untuk menerima tetamu dek tidak diberitahu terlebih dahulu.
Bahkan adab untuk melawat adalah wajib untuk memberitahu tuan rumah mengenai kedatangan anda supaya tuan rumah menerima kehadiran dengan tangan terbuka dan ikhlas. Ibu dan ayah menjemput Mak Leha masuk dan mereka meneruskan perbualan yang didominasi wanita itu. Tidak berhenti dia berceloteh bercerita itu dan ini dan tanpa segan silu meminta air seakan dia berada di kedai mamak lagaknya.
Ceritanya merapu dan tidak tahu mana mula akhirnya. Ini termasuk mengenai rasa tidak puas hatinya bercerita mengenai anak perempuannya yang bermain cinta di sekolah. Ia membangkit rasa kekok kerana cerita itu seperti tidak sesuai untuk diberitahu orang asing yang tidak begitu dikenali. Tidak henti-henti menyebut nama adik bongsu saya kerana hanya dia seorang yang Mak leha kenal, itupun kerana mereka sekelas ketika di sekolah.
Saya memandang adik-adik serta ipar yang turut sama di ruang tamu sambil membuat signal adakah mereka kenal wanita itu, dan mereka menggeleng kepala. Ini kerana kami kenal kesemua kenalan ibu sementelah dia adalah ahli aktif yang terlibat dalam persatuan wanita penduduk, lalu ini membangkit hairan pada kami bilamana kewujudan wanita ini tidak kami ketahui.
Dua jam perbualan yang tiada henti. ibu dan ayah tegar melayan wanita itu dengan Setahun yang lepas, Mak Leha bercerai dan perkahwinannya itu dianugerahkan dengan 3 orang anak. Apa yang menyedihkan, suaminya melarang keras dia daripada berjumpa dengan anak-anak dan mengusir wanita itu keluar dari rumah. Penceraian itu memberi impak yang begitu hebat pada dirinya sementelah dia dijarakkan daripada anak-anak tanpa persetujuan.
Sepatutnya, hal ini ini boleh dielakkan jika Mak Leha tahu undang-undang syariah yang menegah keras perihal berat sebelah ini. Suami mahupun isteri tidak boleh melarang pasangan mereka bertemu dengan anak-anak selepas penceraian, melainkan ada sebab munasabah yang memungkinkan perkara itu berlaku. Tetapi sayangnya, Mak Leha hanya wanita berusia yang hidupnya bergantung sepenuhnya kepada suami.
Makan pakai serta tempat tinggal tidak pernah mengharapkan orang lain, apatah lagi dia adalah suri rumah sepenuh masa. Kahwin pula pada usia muda dan tiada latar belakang pendidikan yang membolehkan dia mencari wang pendapatan untuk duit poket. Asalnya dari kampung tiada langsung pengalaman kerja. Rangkuman kenalan yang dia ada pun setakat di kawasan perumahan dan tidak pernah menjalar jauh daripada kawasan yang sudah didiami sejak 18 tahun yang lepas.
Justeru, bagaimana boleh dia tahu mengenai undang-undang syariah ini sedangkan golongan berpendidikan kini pun bukannya semua yang mengambil berat akan dasar undang-undang Islam. Lalu, dia hanya akur akan perintah larangan ini dan memendam rasa marah serta kecewa. Penindasan begini adalah jauh daripada prinsip keluarga sakinah yang menjadi pegangan agama Islam kerana ia bisa melahirkan masyarakat yang tidak sihat dan kacau bilau keadaannya. Apabila ditanya pada ibu dimana tempat tinggalnya, ibu hanya menjungkit bahu. Tiada sesiapa yang tahu dimana lokasi berteduhnya.
Mak Leha sebenarnya dalam perjalanan ke rumah pengasuh anak-anaknya yang terletak selang 5 buah dari rumah kami. Dia singgah ke rumah kami kerana terlalu haus dan penat berjalan. Walau ditegah daripada berjumpa anak-anak, Mak Leha tetap berkeras untuk sesekali bertemu darah dagingnya. Jika tidak boleh dirumah, Mak Leha berjumpa mereka di rumah pengasuh mahupun guru tuisyen mereka.
Pernah dia ditangkap polis kerana memecah masuk rumah sendiri. Menurut Mak Leha, suaminya mengurung anak-anak di dalam rumah, lalu dia hanya ingin menyelamatkan anak-anaknya dengan memecahkan cermin tingkap rumah dan cuba membuka pintu agar mereka dapat keluar. Bagaimanakah agaknya perasaan menjadi Mak Leha? Sudahlah diusir dari rumah yang diuruskannya sejak 18 tahun yang lepas, ditambah pula tekanan jauh daripada orang kesayangan. Kasihan. Berat sungguh dugaan yang menimpa Mak Leha. Ketika di awal proses penceraian, Mak Leha bagai orang sasau.
Dia ditinggalkan hidup seorang diri ketika di usia 40 tahun. Tiada kerja, tiada wang mahupun anak-anak di sisi. Sudah habis tenaga merayu agar suaminya tidak menghalau dari rumah, namun segalanya hampa. Pernah dilihat dia mengutip sisa makanan orang lain di restoran berhampiran. Secara lahiriah, orang lain tidak akan perasan akan keadaan Mak Leha yang tidak normal dek cara pemakaian yang bersih dan solekan terang sentiasa menghiasi wajah. Namun, hati manusia, entah siapa yang tahu.
Buat mereka yang rapuh pegangan agamanya, sering mempersoalkan kewujudan Tuhan bilamana diuji dengan begitu kuat. ‘Apa salah aku sehingga begini hebat sekali hukuman yang dikenakan?’ Seringlah menganggap jika dirasakan beban yang ditanggung itu sudah cukup berat, ketahuilah ada orang lain di luar sana yang diuji lebih dari apa yang anda alami.
Pernah saya mendengar teman yang merungut itu dan ini, tidak bersyukur dengan apa yang mereka miliki serta mempersoalkan bahagian rezeki yang mereka perolehi berbanding orang lain. Ada juga yang marah kerana dibebankan dengan pelbagai masalah namun tidak orang lain yang hidup senang lenang serta bahagia. Mungkin mereka tidak pernah berjumpa nasib orang yang lebih malang dari mereka, atau mereka bersikap ignorance.
Sebelum ini, saya mempersoal mereka yang meroyan atau terganggu perasaan dek masalah yang dihadapi. ‘Sabarlah sedikit, itu kan dugaan dari Tuhan.’ Namun, tidak adil untuk saya melabelkan Mak Leha sebagai orang yang lemah semangat. Jika saya di tempat dia, entah apalah yang saya lakukan dek tidak tahan dengan dugaan sebegitu kuat.
Saya patut bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga yang bahagia dan cukup makan pakainya. Lain orang lain rezekinya, begitu juga antara saya dan Mak Leha. Manusia juga dilahirkan dengan tahap kesabaran serta ketabahan yang berbeza-beza. Ada yang mampu untuk menangani tekanan dengan baik, dan ada pula yang merasakan ia terlalu berat untuk dipikul seorang diri. Justeru perlunya bantuan psikologi mahupun fizikal daripada orang sekeliling seperti ahli keluarga, rakan serta jiran tetangga.
Kes tekanan jiwa di Malaysia bukanlah sedikit. Bahkan ia makin meningkat seiring dengan kepesatan ekonomi dan struktur negara yang semakin membangun. Yang membezakan rakyat Malaysia dengan penduduk di negara Barat adalah di negara kita penyakit psikologi dipandang enteng dan ditafsirkan sebagai gila. Ini membuatkan ramai yang menjauhi khidmat doktor pskiatri ataupun sesi kaunseling kerana bimbang dilabel sebagai orang gila yang ditakuti masyarakat.
Ada yang tegar menyimpan sendiri masalah dan rasa duka, lalu membentuk jiwa yang ‘sakit’. Sudahlah begitu, jauh pula dengan pegangan agama lalu menggalakkan syaitan bermaharaja lela agar membuat keputusan mengikut perasaan, bukan akal dan logik. Hati-hati jika anda mengesan diri mengalami kemurungan. Segeralah mendapatkan rawatan sebelum ia menjadi lebih serius.