Oleh: Farhana Fuad
Gambar: EH!
Buat pertama kalinya, Beto Kusyairy berjaya meraih anugerah di majlis gemilang Anugerah Skrin 2015 dengan menggenggam trofi sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem melalui filem Gila Baby yang disiarkan tahun lalu. Bagi Beto, kemenangan ini adalah satu anugerah yang tidak disangka baginya.
“Sejujurnya saya tidak mengharapkan apa-apa. Saya bekerja setiap kali diberikan tanggungjawab untuk merealisasikan watak, saya tidak pernah pasang angan-angan atau cita-cita untuk menang anugerah. ‘Ok aku buat watak ini sebab aku nak menang anugerah.’ Tidak. Jauh sama sekali. Tetapi bila sudah diberikan calon akhir pun, sudah dikira penghargaan yang cukup besar dah untuk diri saya sebenarnya. Tetapi bila diiktiraf begini, saya jadikan ia sebagai satu motivasi untuk saya bekerja lebih keras di masa akan datang. InshaAllah, mudah-mudahan.”
Tambahnya lagi “Ini adalah kali pertama saya memenangi anugerah di ASK.” Dan kala ditanya sudah berapa kali tercalon di dalam anugerah besar sebegini, “Rasanya setiap tahun saya dicalonkan. Saya pun sudah tidak ingat.”
Gambar: Instagram Beto Kusyairy
Bagi Beto, dirinya sangat gembira dan teruja apabila namanya diumumkan untuk naik ke pentas bagi penganugerahan yang besar ini. Namun, Beto tidak menafikan bimbang akan sumpahan pemenang anugerah yang sering dikatakan oleh ramai pelakon senior yang pernah memenangi trofi di anugerah.
“Pastinya seronok. Saya rasa kalau sesiapa pun yang memakai kasut saya sekarang ini akan rasa seronok, akan rasa berbaloi dengan kerja apa yang diusahakan, titik peluh, darah, air mata yang telah dicurahkan. Tetapi saya tetap bersyukur. Senior-senior ada pesan pada saya juga. Kadang-kadang bila dah terima anugerah ini dia akan terkena satu sumpahan dipanggil ‘Award Winners Curse’. Di mana job akan berkurangan sebab produser takut hendak mengambil bekerja sebab kononnya gaji akan bertambah mahal. Saya tidak tahu pasal sumpahan itu. Saya dengar je. Tetapi kalau boleh saya nak elak dari sumpahan itu.”
Adakah Beto takut akan sumpahan itu? “Saya tidak takut. Tetapi saya mengharapkan pihak stesen naikkanlah bajet produksi agar keuntungan dan rezeki itu boleh dikongsi sama-sama.”
“Tiada istilah risau dalam hidup saya. Saya bekerja selagi orang nakkan saya, selagi penyokong-penyokong saya nak, selagi orang sudi untuk ambil saya dalam membawakan sesuatu watak itu. Saya percaya pada rezeki. Saya jenis orang yang go with the flow. Saya berbintang Pisces. Jadi saya berbintang ikan. Just go with the flow. Kalau selagi saya dimahukan, diperlukan, selagi itulah saya akan terus berada di situ. Saya tidak boleh bercakap apa-apa soal rezeki ini kerana itu semua kerja Dia.”
Kala ditanya kepada Beto, adakah dengan kenyataannya berkenaan sumpahan tersebut menjadi satu mesej di mana dia mahukan kenaikan gaji setelah berkarya bersama produksi lakonan, Beto menjawab “Ini soal setimpal atau tidak dengan kualiti kerja yang telah kita berikan, dengan keringat yang kita perah setiap kali kat set, dengan research yang kita buat, dengan kesungguhan kita dalam merealisasikan sesuatu lakonan itu. Jadi, untuk itu maksudnya bayarannya haruslah setimpal. Dan untuk kita jadikan salah satu kerjaya yang diiktiraf, jadi perkara sebegini perlulah. Maksudnya bayar berdasarkan kualiti kerja seseorang itu.”
Beto turut mengulas bahawa baginya dia tidak boleh menetapkan dirinya pada satu jenis watak sahaja. “Saya sebagai pelakon, saya tidak boleh meletakkan diri pada satu jenis sahaja. I consider myself as a serious actor. Jadi saya nak expand saya punya acting skill, sejauh mana yang saya mampu, sejauh mana yang saya boleh.”
Pemenang kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem ini mula berjinak dalam dunia lakonan pada 2003. Tetapi dia sudah mula bergiat dalam industri sejak 1998 lagi, bekerja di belakang tabir sejurus selepas tamat dari SPM.
Bahkan menurut Beto “Semasa saya bekerja sebagai krew produksi, saya tidak pernah bercita-cita pun hendak menjadi seorang pelakon. Tak pernah mengidam nak jadi aktor. Bila waktu krew melihat orang lain berlakon pun, perasaan saya macam itu sahaja. Just buat kerja kita sahaja. Sampai satu tahap, di mana pelakon tambahan tiada dan malas mahu ambil agensi, mereka terus memanggil saya sebagai pengganti. Jadi dari situ kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk mula membawa watak-watak pembantu yang lebih berat dan stronger, passion came along. Pada awalnya saya seorang yang sangat pemalu. Kala dipakaikan dengan watak seseorang itu, saya jadikan ia satu terapi untuk saya pecahkan tembok malu itu. Saya pernah memakai maskot Along di mana ianya juga satu terapi bagi saya untuk menghilangkan rasa sangat pemalu ini walaupun orang tidak tahu bagaimana panasnya saya menyarung maskot ini. Ianya bukan mudah untuk saya sampai ke sini. Tetapi saya tidak pernah kecewa dengan perjalanan ini. Malah saya hargainya kerana perjalanan yang pelbagai dugaan ini yang buatkan saya di sini.”
Ditambah lagi adakah Beto punya rasa untuk duduk di kerusi pengarah, “Semestinya saya ada rasa nak berada di kerusi pengarah. Masalahnya waktu sekarang ini saya tak rasa saya masih cukup ilmu untuk duduk di kerusi itu lagi. Masih banyak benda yang saya perlu belajar. Pertama sekali jika hendak menjadi pengarah ini, perlulah pandai mengawal krew produksinya. Dan saya masih lagi belajar ke arah itu.”