Gambar : INGimage
Lumrah percintaan ada pasang surutnya. Jika tidak, masakan peribahasa sedangkan lidah lagi tergigit dicipta. Namun, setiap apa yang berlaku haruslah menjadi pengajaran bermakna untuk dilayari bersama susah senang bahtera yang ingin dibina. Pertahankan dan perlihatkan jauh dalam hati sendiri, apakah yang terjadi sama ada ia kehendak diri atau kerana kecuaian akibat kekhilafan diri. EH! berkongsi pengajaran berguna buat anda dan si dia.
1 MENCINTAI DIRI SENDIRI
Belajar menerima kelebihan dan kekurangan diri harus dititikberatkan terlebih dahulu. Pemuisi terkenal Oscar Wilde dalam salah satu karyanya menulis: “Cara terbaik untuk anda dicintai dan disenangi orang lain adalah dengan belajar bagaimana anda mampu mencintai diri sendiri.”
2 MELEPASKAN KERAGUAN
Cinta ibarat satu lembar perasaan yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar. Kepercayaan adalah azimatnya. Jadi lepaskan segala keraguan yang ada dengan meletakkan azimat kepercayaan tadi supaya ia menjadi ilham dan azam kepada satu perhubungan yang abadi.
3 PERIBADI VS FIZIKAL
Ingat sebagaimana anda idamkan pasangan yang cantik buat pandangan mata, begitu juga dengan pasangan anda. Persiapkan diri dari sudut fizikal dan peribadi secara total. Tidak guna hanya cantik di luar pandangan jika peribadi tidak dirapi indah dengan budi pekerti.
4 BERSIAP UNTUK KEHIDUPAN
Mencipta momen indah dalam percintaan harus bersulam tindak-tanduk yang adil dalam kehidupan. Dalam salah satu artikelnya, ‘Bapa Motivasi’ Wayne Dyer memberitahu bahawa kehidupan adalah karma dan ia refleksi terhadap apa yang anda lakukan pada masa silam. Persiapkan diri dengan segala kemungkinan.
5 SISTEM SOKONGAN
Percayalah tidak ada manusia dicipta dengan sempurna serta mampu hidup sendiri. Atas alasan itu, lengkapkan diri dengan menjadi sistem sokongan kepada anda dan pasangan. Jadikan segala kekurangan sebagai saluran untuk melengkapkan cinta serta kehidupan.
6 PELAYARAN EMOSI
Emosi adalah satu tenaga yang boleh membuat anda teruja, sedih atau apa saja yang melibatkan adrenalin rush! Pengajaran terbaik tentang emosi adalah bagaimana anda harus bijak mengawal daripada terus tenggelam di dalam permainannya. Jangan terlalu menurut sehingga membiarkan emosi yang mengawal diri dan perasaan secara keterlaluan.
7 PENGHARGAAN
Kunci untuk dihargai adalah dengan menghargai orang sekeliling anda. Jangan sesekali mengharap penghargaan daripada orang lain jika anda sendiri tidak tahu menghargai persekitaran mahupun diri sendiri.
8 POSITIF
Pemikiran, perasaan, tingkah laku dan kata-kata yang keluar daripada tindakan seseorang sebenarnya menggambarkan siapa mereka. Ya, pasti ada saja cemburu dalam percintaan, namun anggap ia sebagai warna dalam melayari kehidupan bersama pasangan. Bersikap positif dan usah terlalu ambil pusing selagi belum ada sumber sah untuk anda membuat pertimbangan.
9 ROMANTISME
Baik lelaki atau wanita anda perlu bijak mengadili pasangan dengan momen-momen indah biar ia terbit menjadi satu wadah dalam perhubungan. Ingat menjadi romantik bukan sekadar memberi kuntuman ros atau sekotak strawberi bersalut coklat semata, namun apa yang lebih penting bagaimana cara anda bertindak balas dengan pasangan.