Teks: Khairul Abidin
Gambar: Arkib EH!
Namanya mula meningkat naik sejak menjuarai Anugerah Juara Lagu 29 tahun lalu menerusi lagu duet bersama Joe Flizzow yang berjudul Apa Khabar. SonaOne atau nama penuhnya Mikael Adam Lozach punya identiti tersendiri dalam membawa lagu-lagu HipHop yang tidak disangka boleh menjadi juara tahun lalu.
Tahun lalu juga, EH! pernah mengangkat SonaOne sebagai antara wajah depan majalah urban nombor 1 ini. Menerusi temu bual bersama SonaOne, dirinya berkongsi kisah karier dan kehidupannya. Ikuti temu bual berikut di bawah:
Apakah genre muzik yang SonaOne dengar?
“Everything! Saya sukakan semua. Ya, saya mungkin lebih menjurus kepada ritma hip-hop tetapi saya berikan diri saya peluang untuk mendengar semua jenis muzik. Saya membesar dengan pelbagai jenis rentak lagu memandangkan ibu saya sendiri mendengar pelbagai muzik lagu. Kerja-kerja ibu yang melibatkan muzik memberi saya lebih pendedahan tentang muzik sejak kecil lagi. Pakcik-pakcik sebelah ayah saya ada yang bergelar pemuzik, dan pada usia lapan tahun saya sudah dibawa ke studio, dan sehingga sekarang saya masih ingat ‘bau’ studio itu.”
Siapakah idola SonaOne?
“Stevie Wonder. He is my number one of everything. Kita tahu Stevie Wonder buta, tetapi dia tidak seperti kita. Kita semua mendengar muzik tetapi pada saya dia ‘melihat’ muzik.”
Penyanyi tempatan yang SonaOne tumpukan?
“Saya sukakan Zainal Abidin, Dayang Nurfaizah dan Anuar Zain. M Nasir is crazy, dia hebat. Saya juga mendengar lagu-lagu 4U2C dan Nico.”
Dari mana datangnya nama SonaOne?
“Itu nama yang saya cipta dari zaman saya aktif membuat graffiti lagi.”
Apakah perasaan SonaOne setelah lebih dikenali ramai sejak kemenangan AJL tahun lalu?
“Saya tidak pernah suka menjadi perhatian. Ya, saya seorang yang loud tetapi saya tidak pernah berasa selesa jika ada yang memerhati. Biarpun ‘peristiwa’ kemenangan AJL telah membawa nama saya ke satu peringkat yang lain, namun pada saya, saya masih orang yang sama, yang berubah hanyalah persepsi orang terhadap saya. Saya kurang senang jika ada orang yang hanya mahu bersama-sama saya sewaktu saya senang tanpa mengetahui betapa sukarnya saya untuk sampai ke tahap ini.”