Teks: Muzammin Muzlan
Gambar: Uniqlo
Punya gaya nan tersendiri dan pengikut yang ramai menjadikan dia antara ikon fesyen berhijab antarabangsa yang paling disenangi di Malaysia. Ikuti wawancara bersama pereka fesyen terkemuka dunia ini.
Bagaimana Hana Tajima bermula?
Saya dibesarkan dalam persekitaran kreatif. Ibu bapa saya adalah artis dan cukup natural buat saya menggunakan medium seni dalam komunikasi dan mengekspresikan diri. Saya menuntut dalam jurusan fesyen tapi meninggalkannya untuk memulakan label pertama saya, Maysaa. Kebetulan pada masa itu juga saya memulakan hanatajima.com (dahulunya stylecovered.com) lantas menjadi seperti online sketchbook buat saya.
Bagaimana kolaborasi bersama UNIQLO ini bermula?
UNIQLO memang cukup terkenal dalam menghasilkan rangkaian pakaian yang bukan hanya bergaya tapi juga dipasarkan pada harga yang berpatutan. Ia merupakan sesuatu yang jarang sekali berlaku dalam industri fesyen sekarang. UNIQLO dan saya mempunyai persamaan dari segi estetika dan prinsip dan ia sekali gus membenarkan kami untuk bekerjasama dalam menghasilkan sebuah koleksi yang selesa dan sopan.
Apakah gaya signature anda?
Ramai berpendapat saya hanya kekal dengan satu gaya signature sahaja. Evolusi gaya longgar dan sopan terbaru adalah saya mencipta potongan pada rekaan skarf. Ia adalah rekaan yang ringkas yang boleh diolah menjadi lebih banyak gaya dengan mudah. Rekaan skarf ini boleh didapati dalam koleksi bersama UNIQLO kali ini.
Mengapa anda memilih Yuna untuk membintangi kempen koleksi ini?
Sudah lama kami merancang untuk bekerjasama. It’s funny walaupun kami berdua menetap di Amerika Syarikat tapi berbeza coast, lantas agak sukar untuk kami berjumpa. Yuna adalah nama pertama yang terlintas ketika sesi pemilihan model. Dia cukup sempurna ketika sesi fotografi kali ini kerana kami mahukan seseorang yang natural. Juru foto kali ini juga merupakan sahabat saya lantas kami seperti hang out selama beberapa hari di hadapan kamera.
Apakah pendapat anda mengenai fesyen berhijab di Malaysia?
Fesyen berhijab di Malaysia telah mengalami pembaharuan dan saya merasakan ramai mahu melihat sejauh mana perkembangannya. Ia lebih kreatif dan ekspresif dan idea fesyen berhijab ini telah menuju ke pelbagai arah dan gaya. Ini menjadikannya lebih menarik jika dibandingkan dengan estetika fesyen mainstream.
Bagaimana mahu tampil sopan dan masih bergaya dalam masa sama?
Tampil bergaya dan sopan perlu bermula dengan apa yang anda rasa. Pilih satu gaya yang ada rasa cantik dan selesa untuk dipakai dan mula berevolusi dari situ. Ia bukan soal tampil hebat dalam trend terkini, tetapi apa yang sesuai dan terbaik untuk tubuh anda.