Ketahui cara untuk tangani pori wajah besar di rencana ini.
Antara masalah kecantikan wajah yang sukar untuk dirawat adalah pori wajah besar dan bintik hitam. Bagaimana pori wajah boleh menjadi besar? Secara asasnya, hormon dalam badan seseorang mempengaruhi penghasilan sebum (minyak) di kelenjar.
Kemudian, minyak ini disalirkan ke setiap pori dan seterusnya ke wajah. Jika penghasilan sebum normal, aliran minyak berlangsung dengan baik. Namun, terjadinya masalah apabila kelenjar minyak menghasilkan terlalu banyak bendalir!
Lebihan minyak ini akan bercampur dengan bendasing pada permukaan wajah (contohnya sel kulit mati) yang menyebabkan pori tersumbat, sekali gus pori membesar dan mengembang.
Pori membesar, justeru merembeskan lebih banyak sebum dan ia teroksida dengan campuran kulit mati, lalu terhasil bintik hitam. Ketahui apa yang perlu anda lakukan untuk menanganinya.
Do’s
• Gunakan produk pencuci wajah bebas sabun, lembut serta bertindak balas sempurna dengan air. Pencuci wajah yang mengeringkan bisa membuat kulit sakit dan meninggalkan kesan merah serta radang.
• ‘Serap’ lebihan minyak di wajah dengan penggunaan pupur jenis lumpur. Ada juga produk yang menawarkan kesan resapan minyak apabila digunakan pada wajah sebelum olesan solekan.
• Gunakan produk yang mengandungi kandungan anti oksida tinggi. Selain mampu menjadikan kulit sihat, ia mengurangkan kesan kedut.
• Mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk berbincang dengan doktor bagi pengambilan pil perancang kehamilan. Dos rendah mampu mengurangkan dan menyeimbangkan tahap hormon yang bertanggungjawab dalam penghasilan minyak.
Don’ts
• Berhenti menggunakan produk yang menyebabkan penghasilan minyak pada wajah lebih banyak. Produk yang berciri krim adalah pilihan yang salah buat mereka yang mempunyai kulit berminyak.
• Jangan tidur dengan solekan masih di wajah! Bukan sahaja ia menyebabkan pori tersumbat, juga menggalakkan pertumbuhan bintik hitam dan kulit kusam.
• Jika anda menggunakan penyamar noda bagi menutup kesan cela (jerawat kemerahan), menyembunyikan pori yang besar dan ton kulit yang tidak sekata, hati-hati kerana ia mungkin akan membuatkan liang pori tersumbat dan sukar untuk anda membersihkan solekan dengan sempurna.