Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Sumber Google
Produksi terbaru Astro Shaw yang berjudul Ola Bola kini menjadi topik hangat diperkatakan di dalam media sosial. Dalam masa empat hari tayangan sahaja, filem Ola Bola sudah mencecah RM2.5Juta.
Ianya mula ditayangkan di 126 buah pawagam di Malaysia pada 28 Januari lalu. Filem Ola Bola menggambarkan persedian pasukan bola sepak nasional untuk tampil ke Sukan Olimpik pada tahun 1980.
Filem ini bercirikan watak yang berbilang bangsa dan dengan bahasa perantaraan gabungan bahasa Melayu, Tamil dan beberapa dialek bahasa Cina. Jalan cerita Ola Bola diinspirasikan daripada sebuah kisah benar yang menyerlahkan semangat juang pasukan bola sepak nasional dalam berlatih dan bangun semula dari kekecewaan. Ternyata ia bukan sekadar sebuah filem mengenai bola sepak.
Dengan hasil sinematografi yang mengagumkan selain jalan cerita yang menyentap jiwa penonton bukan sekadar pada semangat kesukanan tetapi juga menghargai semangat setiakawan, kerja berpasukan serta cintakan negara dalam perjuangan melalui bolasepak. Ramai pengulas filem memuji Ola Bola antara karya terbaik setelah sekian lama menantikan filem yang mempunyai nilai sebegini. Ramai yang kagum dengan produksi yang mampu melahirkan semula atmosfera 1980 dengan begitu baik selain kesungguhan pengarahnya Chiu Keng Guan yang sebelum ini cemerlang melalui filem The Journey.
Filem yang berdurasi 1 jam 43 minit ini turut dibintangi pelakon terkenal tempatan termasuklah Bront Palarae dan Frankie Lee. Juga mendapat perhatian barisan pelakon baru yang memainkan peranan pemain bolasepak seperti JC Chee, Luqman Hafiz dan Saran Kumar. Pastinya anda akan turut teruja dengan setiap paparan dalam filem ini yang kaya nilai emosi, patriotisme, seni dan dalam masa yang sama mengimbau zaman kegemilangan sukan yang menyatukan warga Malaysia.
EH! kongsikan trailer filem Ola Bola di bawah.