Oleh: Farhana Fuad
Gambar: TPGimages
Pasangan selebriti Hollywood yang dikatakan sudah kembali bertunang ini dihangatkan dengan berita terkini yang menyatakan mereka sudah pun berkahwin secara tertutup.
Laporan terbaru dari majalah Life & Style antarabangsa menulis yang Miley Cyrus dan Liam Hemsworth telah berkahwin tanpa pengetahuan media di sebuah majlis tertutup di pantai yang terletak di Australia yang juga merupakan kampung halaman Liam.
Menurut laporan majalah tersebut, dua bintang popular dunia ini menyambung semula bibit romantik mereka di Australia ketika musim sejuk tahun lalu dan tanpa berlengah lagi, mereka mengambil langkah besar dalam kehidupan mereka dengan menikmati sebuah majlis perkahwinan tertutup dihadapan permandangan matahari terbenam ketika cuti musim Krismas yang lalu.
Bahkan, sumber terdekat pasangan ini menyatakan yang Miley dan Liam telah memberitahu rakan-rakan rapatnya tentang perkahwinannya itu. Tambah laporan majalah tersebut lagi, Chris dan Luke Hemsworth turut serta dalam menjayakan majlis tertutup tersebut, manakala isteri kepada Chris, iaitu Elsa Pataky secara tidak langsung dipilih untuk menjadi matron of honour.
Hari tersebut seakan satu hari yang sangat sentimental buat pasangan ini dan dikatakan bahawa cincin perkahwinan mereka juga diubah suai dari pelepah kelapa. Majalah Life & Style turut menambah laporannya yang menyatakan majlis perkahwinan tersebut tidaklah sah secara rasmi. Namun, bintang dan pelakon kesukaan ramai ini bersetuju untuk menjadikan ianya rasmi pada bulan Mac ini nanti.