Gambar: INGimage
Bayangkan sepasang suami isteri yang sudah 10 tahun berumah tangga, dan selama 10 tahun itu jugalah mereka setia pada gaya hubungan seks yang sama. Bolehkah hubungan intim itu kekal hangat, sehangat tahun pertama berumah tangga?
Jom teliti panduan baik untuk menyemarakkan hubungan anda dan pasangan ketika di kamar tidur.
Hidupkan Fantasi
Realisasikan angan-angan agar hubungan seksual menjadi lebih menarik dan tidak membosankan. Pasangan yang sudah bertahun-tahun berumah tangga memerlukan pembaharuan dalam hubungan seksual, agar momentum hubungan intim tidak terhenti. Selagi fantasi seksual anda tidak melampaui batas agama, mengapa tidak?
Bersikap Terbuka
Jika pasangan mencadangkan gaya hubungan seksual yang berlainan, anda harus terima dan mencuba, jangan terus membantah. Belum cuba belum tahu. Jika ia sesuatu yang dihalalkan oleh agama, bukakan minda dan beri peluang untuk anda dan pasangan mencuba. Siapa tahu apa yang dicadangkan boleh menghangatkan lagi hubungan intim anda.
Spontan
Perlakuan spontan akan menambah warna pada hubungan seksual. Ia ibarat kejutan pada pasangan. Sesuatu aksi yang tidak diduga selalunya memberi keseronokkan kepada anda berdua. Namun begitu sebelum anda melakukan sebarang kejutan atau aksi spontan, tentukan anda tahu apa yang disukai dan tidak disukai pasangan.
Utamakan Diri
Sebelum memikirkan apa yang menyeronokkan pasangan, anda terlebih dahulu harus tahu apa yang menyeronokkan diri sendiri. Jangan terlalu menurut kata pasangan, hinggakan anda berasa terpaksa dan berat hati melakukan hubungan intim. Namun janganlah terlalu mementingkan diri hingga menyebabkan hubungan intim menjadi hambar.
Jangan Berpura-pura
Jangan berpura-pura puas atau menyukai apa yang pasangan anda lakukan. Ini yang banyak berlaku di kalangan wanita, sehinggakan mereka memendam perasaan, akhirnya minat melakukan hubungan intim semakin pudar.
Pernafasan Yang Baik
Salah satu faktor utama yang menyumbang keselesaan semasa hubungan intim ialah cara anda bernafas. Tentukan anda bernafas dengan betul sewaktu bersama.
Komunikasi
Komunikasi yang baik adalah ‘akar’ kepada hubungan yang positif. Sifat terbuka membuka ruang untuk anda dan pasangan berkomunikasi termasuklah tentang aktiviti seksual anda berdua.
Suasana/Lokasi Yang Selesa
Suasana serta lokasi juga memainkan peranan menghidupkan hubungan seksual. Bagi yang sudah mempunyai cahaya mata, perhatian kepada anak-anak adakalanya mengganggu fokus kepada hubungan intim. Oleh itu, pilihan waktu, lokasi dan suasana memainkan peranan untuk menikmati hubungan seks berkualiti.