Oleh: Farhana Fuad
Sebelum ini kecoh di media sosial tentang pelakon jelita ini sedang menanti hari untuk diijab kabul dengan pasangan pilihannya dan sudah pun menempah persalinan perkahwinan dengan pereka fesyen terkenal tempatan Ashraff Zainal Atelier.
Biar pun pada awalnya berita itu sekadar khabar angin sahaja dan baju kahwin yang dikaitkan dengan Nora itu hanyalah untuk penggambaran drama di New York semata. Terbaru, pabila soal kahwin disuakan kepada ibu kepada Putera Rayqal ini , Nora menyatakan yang berkemungkinan dirinya dan Nedim bakal berkahwin pada tahun ini.
“Nampak gayanya tahun ini juga kami akan berkahwin. Bagaimanapun sejujurnya saya tidak mahu terburu-buru ke arah itu kerana ia juga perkahwinan kedua saya. Saya tidak mahu berkahwin atas dasar cinta semata-mata, tetapi biarlah kerana Allah. Selain itu, saya juga mengimpikan perkahwinan yang sederhana. Apa yang penting ialah kami sah bergelar pasangan suami-isteri,” kata Nora kepada BH Online.
Walau bagaimanapun, kedua pasangan secocok ini belum menetapkan sebarang tarikh lagi untuk hari perkahwinan mereka itu nanti. Dalam masa yang sama, bapa kepada Nedim, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membuat kenyataan kepada sebuah portal media yang dirinya memberi kata setuju jika Nedim dan Nora mahu mulakan kehidupan berkeluarga bersama.