Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Instagram Anzalna Nasir
Pelakon jelita tempatan, Anzalna Nasir dan suaminya Mohamad Hanif Zaki selamat menunaikan umrah bersama di kota Mekah. Aktres cantik tampaknya lebih bahagia sejak berumah tangga.
Pengalaman mengerjakan umrah bersama suami ini dianggap satu detik yang terindah buatnya apabila keinginannya dijemput menjadi tetamu rumah Allah menjadi kenyataan.
Anzalna terbang ke Mekah bersama suami dan juga kedua ibu bapanya. Dalam masa yang sama, ia sebagai satu sesi bulan madu buatnya dan suami.
“Berbulan madu sebenarnya bukan sekali saja. Saya percaya, setiap hari pun boleh jadi bulan madu untuk pasangan suami isteri. Selepas berkahwin, saya fikir tiada istilah berbulan madu. Saya dan suami boleh berbulan madu pada bila-bila masa. Namun, pengalaman mengerjakan umrah baru-baru ini cukup manis untuk dikenang…Alhamdulillah,” katanya kepada BH Online.
Bagi Anzalna rutin hariannya kini sangat menyeronokkan. Setakat ini, Anzalna juga belum ada sebarang komitmen untuk berlakon.
“Sangat menyeronokkan. Saya banyak berehat kerana belum ada komitmen berlakon. Baru sekarang dapat merasa atau ‘feel’ sebagai isteri. Saya seronok melakukan rutin sebagai suri rumah. Saya gembira dapat menjaga makan dan pakaian suami. Suami sangat manjakan saya. Selepas berkahwin, tampak ketara sikap penyayangnya. Suami cukup mengambil berat. Benarlah, selepas berkahwin, setiap pasangan akan menunjukkan warna sebenar diri,” katanya.