Oleh : Farhana Fuad
Gambar : Arkib EH!
Penyanyi kelahiran Malaysia yang sudah bertapak di Los Angeles, Yunalis Mat Zara’ai berkongsi berita gembira yang mana dirinya terpilih untuk sama-sama menjayakan kempen promosi global untuk Sukan Olimpik Rio 2016.
Yuna akan turut serta bersama empat orang lagi penyanyi tersohor dunia untuk persembahan promosi Olimpik 2016, The Fire. Empat orang penyanyi hebat antarabangsa tersebut termasuklah pemenang Grammy, Lenny Kravitz (Amerika Syarikat), Diogo Noguiera (Brazil), Nneka (Nigeria) dan Corrine Bailey Rae (United Kingdom).
Dilihat menerusi akaun Facebook milik Yuna, penyanyi muda ini menyatakan rasa bangga dan terujanya untuk menjadi sebahagian kempen tersebut.
Bahkan dirinya tidak sabar untuk berkolaborasi bersama barisan penyanyi hebat dunia untuk kempen Olimpik kali ini.
“Mereka menghangatkan lagi bara Olimpik. Saya sangat bangga menjadi sebahagian daripada kempen ini. The Fire telah dirakamkan semula dengan suara Lenny, Diogo, Nneka, Corrine dan saya! Sangat teruja dapat bekerjasama dengan mereka semua,” ujar Yuna kepada News Straits Times.
Yuna pada yang sama berjaya melancarkan video muzik lagu terbarunya Crush yang mana dia berganding bersama penyanyi R&B terkenal dunia, Usher. Ketika ini juga, lagu tersebut masih berada di carta teratas dalam Hitz.Fm.