Gambar : Shutterstock
Apabila wang menjadi fokus utama, maka ada sesuatu yang lain perlu dikorbankan. Tidak dinafikan tekanan untuk memenuhi kehendak karier yang penuh dengan persaingan kini menjadi alasan manusia sanggup untuk bersusah payah. Kesihatan tidak lagi diberi perhatian lalu menyebabkan pelbagai penyakit dan stres kronik yang adakalanya boleh mengakibatkan kematian.
Ketidakseimbangan hidup
Sikap terlalu fokus dan obses terhadap kerja menyebabkan seseorang individu itu mengalami ketidakseimbangan dalam perjalanan hidupnya. Berikut adalah akibat tekanan kerja yang banyak:
Nutrisi badan tidak seimbang
Bila anda terlebih bekerja, badan anda menjadi terlampau penat. Ini menyebabkan anda bergantung kepada kopi untuk kekal bertenaga, juga cenderung untuk memilih makanan yang tidak sihat kerana kekangan masa yang terhad. Bersenam juga seakan perkara yang semakin dilupakan.
Kurang tidur
Orang dewasa memerlukan tidur yang mencukupi antara 7 hingga 8 jam sehari bagi memberi tenaga pada keesokan harinya. Kurang tidur menyebabkan otak jadi lembap dalam memberi tindakbalas dan berfikir.
Tidak gembira
Asyik dengan kertas kerja dan perbincangan berjam-jam lamanya membuatkan anda tiada masa untuk diri sendiri, apatah lagi untuk orang sekeliling. Tiada komunikasi untuk menyemai hubungan baik bersama keluarga. Mudah berang dan tidak mensyukuri nikmat hidup. Hubungan dengan manusia terganggu, sekaligus menambah beban stres yang ada.
Penambah tenaga
Tidak fokus, mengantuk dan letih mendorong anda untuk menikmati minuman tenaga agar segar kembali. Minuman tenaga mengandungi bahan tambahan dan vitamin yang jika diambil secara berlebihan boleh menyebabkan toksik pada hati, gangguan sistem saraf, tekanan darah rendah serta penyakit mental.
Penyakit
Menurut World Health Organizatiion (WHO), 35 peratus daripada kes stres kerja mengakibatkan penyakit mental kronik. Mereka juga mengalami kemurungan yang berpanjangan akibat panik dan kerisauan sepanjang masa. Selain itu, bagi mereka yang bekerja melebihi 10 jam setiap hari mempunyai 60 peratus peluang lebih tinggi untuk menghidap penyakit jantung.