Gambar : Instagram Ella dan Raja Ema
Dua lagi selebriti terkenal tanah air tampil dengan imej baru. Ratu rock, Ella mengesahkan yang dirinya sudah mula bertudung sejak Ramadan yang lalu.
Persoalan akan penampilan baru Ella ini telah berlegar di fikiran ramai apabila melihat penyanyi rock ini sering memuat naik gambar bertudung di laman Instagram miliknya.
“Saya mula bertudung sejak Ramadan lalu. Alhamdulillah, saya juga berasa lebih tenang kini. Malah, suami (Azhar Husaini Ghazali) juga gembira dengan perubahan ini,” kata Ella kepada BH Online yang ditemui di pelancaran program realiti Lara Oh Lara.
Ella turut menerima pelbagai komen positif dari peminat serta pengikutnya di laman sosial apabila tampil dengan penampilan barunya itu. Akuinya lagi, dirinya sukakan gaya tudung yang dipakai oleh kakaknya iaitu Jojie. Tambahnya lagi, “Apa pun, saya masih Ella yang dulu. Bagaimanapun sebagai manusia biasa, saya cuba memperbaiki apa yang kurang.”
Tidak hanya Ella sahaja, Raja Ema juga dikatakan tampil dengan penampilan bertudung baru-baru ini. Meskipun begitu, pelakon dan penyanyi ini lebih selesa dianggap bertudung dari berhijab.
“Saya tidak mempunyai apa-apa perancangan tertentu untuk mengubah imej, cuma sejak beberapa hari lalu saya tiba-tiba mahu mengenakan tudung. Mungkin sudah sampai masanya saya berubah, malah saya sendiri rasa selesa dengan bertudung. Saya begitupun kurang selesa apabila orang mengatakan saya berhijab. Bagi saya, hijab itu besar maknanya bagi seorang muslimah. Hijab pada pandangan saya bukan semata-mata menutup aurat, tetapi perlu menutup segala kecantikan kita, dalam dan luaran, daripada tatapan umum. Namun sebagai orang baharu, saya mahu membiasakan diri dengan bertudung terlebih dulu. Malah, saya sendiri tidak pandai mengikat tudung mengikut gaya hari ini. Apa yang saya pakai sekarang adalah berdasarkan keselesaan sendiri, tanpa ada sesiapa yang memberikan tunjuk ajar pun,” ujar Ema.