Oleh : Farhana Fuad
Seperti mana Scha Alyahya dan Nabila Huda yang berkolaborasi bersama EH! X FashionValet, Lisa Surihani juga dipilih untuk turut serta dalam penghasilan koleksi ini.
“Sebenarnya, pada mulanya Lisa tidak begitu yakin untuk terlibat sama dengan projek kolaborasi ini sebab Lisa tak rasa diri Lisa ini seorang trendsetter atau seorang ikon fesyen. Tapi dalam masa yang sama, Bids (Khairul Abidin-Pengarang EH!) memujuk. Lisa terfikir jugalah jika Lisa tidak mencuba, mungkin Lisa tidak akan belajar dari pengalaman ini,” ujar Lisa sesudah sesi penggambaran muka depan EH!
Tambahnya lagi, “Lisa rasa diri Lisa ini memang seorang yang terlalu simple, tidak terlalu fikir fasal berfesyen. Kalau Lisa suka Lisa akan beli. Nak kata Lisa punya gaya tersendiri tidak juga. Ada kala Lisa mungkin sukakan stail boho, edgy, street, chic, elegan, atau juga feminin. Jadi Lisa tertanya-tanya juga macam mana Lisa nak tahu identiti fesyen Lisa itu sendiri.”
Lisa menjelaskan lagi yang sebenarnya pihak FashionValet dan EH! telah pun menyediakan beberapa idea akan stail yang mencerminkan diri Lisa ini sendiri atau boleh kata dekat dan bersesuaian dengan Lisa.
Ia berdasarkan apa yang Lisa pakai ketika menghadiri acara-acara rasmi sebelum ini. Penglibatan Lisa dalam projek ini adalah dari segi perkongsian input dari diri Lisa sendiri dengan helaian yang dihasilkan ini.
Dari situ, setiap sudut dilihat menurut apa yang Lisa sukakan. Pendapat dari diri Lisa juga dipertimbangkan dalam mengetengahkan hasil ceraian fesyen yang membawa imej selebriti jelita ini.
“Boleh kata baby steps itu telah disediakan dari awalnya oleh pihak FashionValet dan EH! dan seterusnya Lisa dibimbing untuk projek ini,” kata ibu kepada Yahaira Leanne ini.
“Ia satu pengalaman yang amat menarik. Sebab ia sesuatu yang saya tidak berani untuk mengatakan pendapat saya. Tetapi Lisa beranikan diri untuk cuba tanpa rasa diadili. Jadi Lisa ingin mengucapkan terima kasih kepada EH! dan juga FashionValet kerana peluang ini sebab Lisa suka belajar dan ini adalah satu pengalaman yang menarik bagi Lisa,” ujar Lisa mengakhiri wawancara.
Koleksi dari Lisa Surihani hasil kolaborasi bersama EH! dan FashionValet bakal mula dipasarkan di laman rasmi stor FashionValet bermula 29 Ogos 2016.