Gambar: Instagram Misha Omar
Penyanyi bersuara emas, Misha Omar selamat melahirkan anak sulungnya semalam pada jam 10.20 malam. Misha dikurniakan bayi lelaki di Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM).
Sebenarnya, penyanyi lagu Pulangkan ini telah mengalami pendarahan sesudah tamat penggambaran video muzik terbarunya untuk lagi Jiwa Sentuh Jiwa yang menggabungkan duetnya bersama Adibah Noor. Misha melahirkan bayi pertamanya itu tiga minggu lebih awal dari tarikh jangkaan.
Namun, selebriti jelita ini selamat melahirkannya secara normal. Bayi lelaki ini dilahirkan seberat 2.05kilogram. Misha sendiri tidak menjangka yang dirinya bakal bersalin secepat itu. Misha turut menyatakan kepada BH Online yang pada jam 8 malam dia merasakan yang dirinya sudah punya tanda-tanda untuk bersalin.
Disebabkan mengalami masalah kontraksi, Misha terus menuju ke hospital bersama pengurus yang juga kakaknya pada jam 10 malam. Menurut doktor, sudah tiba masa untuk Misha melahirkan anaknya itu.
“Alhamdulillah dalam suasana panik itu, semua urusan dipermudahkan dan saya selamat melahirkan cahaya mata sulung pada jam 10.20 malam. Saya bersyukur kerana kebetulan suami, Firros Ezzwan Rosly pulang bercuti dan bergegas ke hospital untuk bersama saya ketika menempuh detik menguji itu,” katanya kepada portal BH.
Meskipun dirinya melahirkan bayi pra matang, Misha menjelaskan yang dirinya dan bayi dalam keadaan sihat. Namun, penyanyi ini memberitahu ingin memberikan lebih tumpuan kepada anak pertamanya itu. Setakat ini, Misha masih lagi belum memberikan nama untuk cahaya mata sulungnya itu.
Misha dan suami sebelum ini mengambil dua orang anak angkat iaitu Muhammad Adam Emir dan Humaira Lateefa.
EH! ucapkan tahniah buat Misha Omar! Semoga kehadiran bayi pertama ini membawa keceriaan dan kebahagiaan ke dalam keluarga Misha dan suami.