Gambar : Shutterstock
Penjagaan muka asas melibatkan pencuci muka, pelembap wajah dan krim tabir suria dengan pilihan SPF dan selalunya SPF40 adalah yang terbaik. Adakah set penjagaan kulit anda hanya melibatkan tiga item ini sahaja?
Tidak cukup! Kulit wajah adalah organ yang memerlukan penjagaan rapi serta cermat. Ia bergantung kepada bagaimana anda memeliharanya dengan pemilihan produk serta rutin yang betul kerana kulit wajah nipis dan halus. Ia mudah berkedut, kering, berminyak, berjerawat dan 1001 lagi masalah yang memerlukan anda untuk tidak memandang enteng perihal penjagaan kulit.
Memang benar anda perlu mencuci muka setiap hari bagi membersihkan kulit daripada bakteria dan kotoran. Namun, ia hanya memberi kesan pada permukaan kulit dan tidak melibatkan bendasing yang terdapat dalam pori. Kerana itu anda memerlukan skrub atau pengelupas yang membersih secara mendalam.
Keduanya bertindak sebagai pengelupas kulit. Jangan bimbang, ia tidak sepatutnya merosakkan kulit wajah, tetapi menyingkirkan bintik hitam dan kulit mati pada lapisan kulit yang paling luar di mana ia terdedah kepada cahaya matahari, kotoran serta bendasing. Skrub dan pengelupas membantu memperlihatkan kulit baru yang sihat dan mulus.
Semakin kita meningkat usia, penghasilan sel kulit baru semakin lama menjadi semakin perlahan. Justeru, jika anda menyingkirkan kulit mati ia mampu merangsang penghasilan kulit baru selain menjadikan pengaliran darah pada wajah berjalan dengan baik. Inilah rahsia awet muda yang sebenar!
Kulit berminyak
Kulit jenis ini sering kali berdepan dengan masalah kotoran dan bendasing yang terperangkap akibat pori besar, justeru skrub adalah produk yang mesti ada dalam item kecantikan anda. Gunakannya dua atau tiga kali seminggu kerana kulit jenis ini lebih tebal.
Resipi skrub buatan sendiri:
Campurkan bersama satu sudu oatmeal, madu dan yogurt. Oatmeal mempunyai tekstur lembut yang tidak akan menyakitkan kulit berjerawat, manakala yogurt kaya dengan asid laktik yang mampu membersihkan pori. Madu pula adalah anti bakteria dan bercirikan antiseptik bagi menyingkirkan bakteria dan bertindak melembapkan kulit.
Jenis skrub: Berasaskan gel.
Kulit kering
Gunakan hanya sekali seminggu bagi mengelakkan kulit bertambah kering. Jika terlebih guna, bimbang minyak semula jadi pada kulit habis tersingkir dan mengakibatkan wajah jadi berkelopak.
Tip penting:
Guna produk penjagaan kulit atau skrub wajah yang diperbuat daripada kebaikan badam dan minyak zaitun. Kedua bahan ini dapat menambah kandungan minyak semula jadi pada kulit wajah serta menjadikan kulit tidak tegang atau menyakitkan.
Jenis skrub: Berasaskan krim.
Kulit normal
Walau tidak mempunyai masalah kulit, namun jangan pernah pula meninggalkan skrub dalam rejim cucian wajah anda. Skrub bisa menyingkirkan sel kulit mati dan mengelakkan kulit menjadi kusam. Kulit akan jadi lebih cerah dan berseri dengan penggunaan skrub yang betul. Gunakan 2 hingga 3 kali seminggu untuk hasil optimum.
Tahukah anda:
Skrub berunsurkan ekstrak betik dan nenas menyingkirkan sel kulit mati dengan lebih baik dan ia menjadi agen pencerahan kulit.
Jenis skrub: Berasaskan krim.