Gambar : Shutterstock
Kulit kita sebenarnya masih boleh menjadi gelap walaupun tidak terdedah kepada cahaya matahari. Ramai yang tidak sedar bahawa cahaya seperti lampu juga mampu memudaratkan kulit.
Kebanyakan juga berpendapat waktu malam tidak memerlukan krim tabir suria, sedangkan waktu malam juga sama pentingnya seperti siang, cuma kesannya tidaklah seteruk waktu siang.
Sebenarnya, matahari memancarkan cahaya bersama dengan sinar X, inframerah dan radiasi ultra ungu (UV). Sinaran UVA dan beberapa jenis radiasi UVB adalah penyebab kerosakan dan penggelapan kulit.
Sinar UVA mampu menembusi lapisan yang lebih dalam di bawah permukaan kulit, sekali gus mengakibatkan kerosakan kepada penghasilan kolagen lantas mempercepatkan proses penuaan kulit, manakala radiasi UVB menyebabkan selaran matahari dan merosakkan DNA serta sel kulit lalu mengakibatkan kanser atau beberapa masalah kulit di masa akan datang.
Mungkin ramai yang masih mempercayai akan mitos tentang kulit gelap, walhal faktanya sangat bercanggah dengan apa yang disangkakan betul. Jadi, EH! senaraikan mitos dan fakta sebenar kulit gelap.
1. Mengelak kulit dari terkena matahari dengan menggunakan payung atau melitupi kepala dianggap mampu memberikan perlindungan mencukupi.
Fakta : Payung atau apa-apa sahaja yang digunakan untuk melitupi kulit tidak memberikan perlindungan mencukupi kerana radiasi UV boleh dipantulkan di tempat-tempat seperti, pasir, lantai dan dinding bangunan. Seperti yang anda ketahui kulit harus dilindungi walau berada di dalam bangunan kerana radiasi UV boleh menembusi tingkap dan langsir, mengakibatkan kulit menjadi gelap.
2. Anda tidak akan mendapat selaran suria pada hari yang mendung.
Fakta : Anda masih mengalami kesan sinaran matahari pada hari mendung kerana radiasi UV boleh menembusi kabus, awan dan kabus tebal.
3. Menggabungkan losen SPF5 dengan losen SPF10 akan memberikan perlindungan SPF secara keseluruhan yang lebih tinggi.
Fakta: SPF merujuk kepada tempoh kulit boleh didedahkan kepada radiasi UV sebelum ia mula terbakar. Tahap perlindungan tetap kekal pada SPF10 walaupun ia adalah gabungan losen SPF5 dan SPF10.