Berlangsung dari 21 sehingga 25 Ogos, Kuala Lumpur Fashion Week Ready To Wear 2019 kembali dengan pementasan koleksi sarat kreativiti daripada 80 pereka dan label fesyen lokal.
Buat kali ke-7, Kuala Lumpur Fashion Week Ready To Wear 2019 (KLFW 2019) akan kembali menggegarkan pentas fesyen paling hangat yang akan berlangsung dari 21 sehingga 25 Ogos 2019. Hub fesyen Kuala Lumpur, Pavilion KL sekali lagi bakal menjadi saksi kepada pementasan lebih 80 koleksi sedia pakai daripada pereka dan label fesyen lokal dengan kreativiti masing-masing.
Saban tahun, KLFW 2019 akan menyaksikan kehadiran lebih 150,000 tetamu dan peminat fesyen dalam lima hari pementasan koleksi sedia pakai untuk musim bunga/panas 2020. Antara nama-nama besar akan menyerikan pentas tahun ini termasuklah Alia Bastamam, Rizman Ruzaini, Fiziwoo, Syomirizwa Gupta, Afiq M, Innai Red, Nurita Harith, Ezzati Amira, Jovian Mandagie dan MimpiKita.
Bersempena dengan bulan kemerdekaan, pameran tekstil Malaysia akan diadakan di bawah inisiatif KLFW sendiri untuk memartabatkan khazanah negara. Objektif pameran ini adalah untuk memberi kesedaran dalam menghargai seni fabrikasi tempatan yang mempunyai keunikan tersendiri. Peminat fesyen boleh menyaksikan fabrik ikonik seperti Tenun Pahang Diraja, Royal Terengganu Songket dan Batik Kelantan oleh Yanas bermula 10 hingga 25 Ogos di Pavilion KL.