Gambar: INGimage
Berlibur sememangnya satu cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi berikutan kerja mahupun masalah peribadi. Ada yang lebih gemar memilih lokasi percutian di luar negara bagi menikmati suasana baru. Tidak salah, namun anda harus tahu bagaimana berbelanja di sana agar tidak menyulitkan sumber kewangan anda selepas pulang daripada percutian itu. Justeru, ikuti tip berikut untuk jimat sambil bergembira.
Makan
- Sebelum ke tempat percutian, rancang tempat makan yang sesuai untuk anda. Kenal pasti restoran mahupun kedai runcit yang ada. Bagi penganut Islam, ambil tahu di mana ingin mendapatkan makanan halal atau restoran vegetarian.
- Memasak sendiri makanan ketika bercuti sememangnya dapat menjimatkan wang anda. Selain itu, ia memberi pengalaman baru yang menyeronokkan kerana dapat menggunakan bahan mentah dan suntikan selera tempatan.
- Jika mahu, cuba elak menikmati sarapan di hotel kerana ia lebih mahal dan kadangkala kurang menyelerakan. Anda boleh keluar awal pagi dan berjalan di kawasan sekitar mencari kafe tempatan yang menghidangkan sarapan resipi tradisional dengan harga yang jauh lebih murah.
- Sarapan dan makan tengah hari dalam kuantiti yang lebih daripada makan malam kerana harga untuk hidangan makan tengah hari lebih murah dan banyak pilihan. Selain itu, ia dapat memberi anda lebih tenaga pada waktu siang untuk meneroka tempat percutian.
Pengangkutan
- Dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan keretapi atau bas berbanding teksi kerana harga yang lebih murah. Anda juga dapat berjalan sambil menikmati keadaan di jalanan dan belajar mengenai negara orang.
- Mungkin sebelum tetapkan percutian anda juga boleh pertimbangkan pakej tiket penerbangan dan tempat penginapan sekali gus yang turut menawarkan khidmat ke lapangan terbang dan ada kalanya juga termasuk kunjungan ke tempat menarik.
- Sesetengah negara menawarkan diskaun untuk perjalanan pergi dan balik tidak kira untuk pengangkutan awam mahupun penerbangan antarabangsa. Buat rujukan mengenainya agar memudahkan perjalanan anda.
- Pertimbangkan cadangan menggunakan kereta sewa. Jika tempat percutian anda mempunyai sistem pengangkutan awam yang sistematik, mengapa perlu bersusah payah dalam kesesakan jalan raya? Dan lebih menjimatkan jika anda berkumpulan supaya dapat berkongsi bayaran sewa kereta.
Membeli-belah
- Kebanyakan lapangan terbang menawarkan kedai bebas cukai. Ambil kesempatan ini untuk membeli barangan tempatan mahupun import.
- Tahukah anda, cukai yang dikenakan ketika anda berbelanja di beberapa negara lain boleh ditebus? Hanya isi beberapa borang dan tunjuk bukti pembelian bagi mendapatkan wang anda kembali. Periksa dengan kaunter pembayaran mengenai polisi pemulangan kerana ianya berbeza di setiap negara dan tertakluk pada jumlah belian tertentu.
- Jangan takut untuk membeli dan mencuba barangan tempatan kerana harganya lebih murah. Anda juga dapat mengenali budaya dan cara hidup mereka.
Tempat Lawatan
- Pusat tumpuan pelancong tidak semestinya menarik untuk dilawati. Tambahan pula, harga barangan di kawasan sekelilingnya lebih tinggi daripada biasa. Penting untuk buat rujukan sebelum anda ke tempat percutian. Lawati tempat yaang bertepatan dengan kehendak dan personaliti anda.
- Jika tempat dituju hanya beberapa kilometer daripada tempat penginapan, berjalan kaki membolehkan anda menikmati pemandangan sekeliling dan mengambil gambar sepuasnya.
- Tidak salah untuk beramah mesra dengan penduduk tempatan mahupun pemandu teksi dan bas. Kongsi pengalaman dan pengetahuan mereka. Jika anda bertuah, mereka boleh menunjukkan tempat menarik untuk dilawati dan tumpuan makanan yang lazat dengan harga yang menjimatkan!
- Ambil perhatian ya… berlibur pada waktu cuti persekolahan mahupun perayaan menjadikan percutian anda lebih mahal daripada hari-hari biasa.
- Sesuaikan tujuan percutian anda dengan keperluan penginapan. Jika masa percutian anda lebih banyak dihabiskan di luar, elak menginap di hotel mewah bagi mengelakkan pembaziran. Pilih bilik asrama, motel mahupun jenis bed & breakfast adalah pilihan yang terbaik.
- Jika ingin percutian yang benar-benar menjimatkan, apa kata bercuti di dalam negara. Ada pelbagai lokasi percutian yang belum pernah anda tuju dan mungkin lebih hebat daripada di luar negara.