Gambar : Sumber Google
Baju overall, rambut diikat getah rambut scunchie, serta gaya potongan rambut The Rachel menjadi kegilaan 20 tahun lalu. Ada sesetengah selebriti berjaya untuk kekal dalam spotlight namun ada juga yang ketinggalan jauh. Kami senaraikan beberapa bintang kegemaran kami untuk rasa nostalgia buat seketika.
1) Justin Timberlake
DULU:
Salah seorang anggota kumpulan pop terkenal NSYNC, Justin Timberlake mula muncul di persada seni sebagai penyanyi bersuara merdu dengan rambut blonde kerinting yang sering diajuk ramai. Pabila dia mula menjalinkan hubungan dengan bintang terkenal Britney Spears, popularitinya melonjak naik malah duo ini dianggap sebagai pasangan paling comel lewat 90-an kerana mereka mempunyai panggilan manja buat satu sama lain iaitu Pinky untuk Britney dan Stinky untuk Justin.
SEKARANG:
Selepas putus cinta dengan Britney (khabarnya kerana Britney curang), karier Justin terus mekar. Dia telah memenangi sembilan Anugerah Grammy, tiga Anugerah Emmy, tiga Anugerah Brit malah pernah dicalonkan untuk Anugerah Golden Globe 2014 dalam kategori Best Original Song. Selain itu, dia juga berlakon dalam beberapa buah filem termasuk Bad Teachers, Friends with Benefits dan tahun ini menyumbang suara untuk filem Trolls. Justin berkahwin dengan pelakon 7th Heaven Jessica Beil pada tahun 2012 dan dikurniakan seorang anak lelaki Silas Randall tahun lepas.
2) Alicia Silverstone
DULU:
Watak Cher Horowitz dalam filem Clueless menjadikan Alicia sebagai household name dalam dunia lakonan. Sehingga kini catchphrase ‘As If’ menjadi antara skrip kegemaran ramai. Dia juga merupakan salah seorang gadis dalam video klip Aerosmith ‘Cryin’ bersama Liv Tyler. Selepas filem Clueless, dia mengembangkan sayap dalam bidang lakonan dalam beberapa filem termasuk The Babysitter dan Batman & Robin namun filem-filem tersebut tidak mendapat sambutan.
SEKARANG:
Dia berkahwin dengan penyanyi Christopher Jarecki pada tahun 2005 dan dikurniakan anak lelaki dinamakan Bear Blu. Karier Alicia kurang cemerlang walaupun dia masih lagi aktif berlakon sehingga kini. Barangkali tahun ini bakal mengubah nasib Alicia yang mana dia berlakon dalam empat filem termasuk King Cobra bersama James Franco malah bakal memegang watak utama dalam drama American Woman bersama Mena Suvari.
3) Melissa Joan Hart
DULU:
Lakonannya sebagai gadis remaja Clarissa dalam siri Clarissa Explains It All membuahkan hasil pabila Melissa memenangi tiga Anugerah Young Award. Selepas kejayaan siri tersebut, dia membawa watak Sabrina dalam siri Sabrina the Teenage Witch pada tahun 1996. Dia turut melakonkan filem Crazy pada tahun 1998 bersama Adrian Grenier dan muncul dalam video klip Britney Spears dengan judul yang sama.
SEKARANG:
Selepas tamat siri Sabrina, dia berlakon dalam beberapa siri serta filem namun namanya tidak menyerlah seperti dahulu. Pada tahun 2010, dia membawa watak Melissa dalam siri tv Melissa & Joey yang menjadi hit. Tahun ini juga bakal menyaksikan Melissa di pawagam dengan filem God’s Not Dead 2 bersama Jesse Metcalfe dan David A.R. White.
4) Mariah Carey
DULU:
Namanya mula melonjak naik selepas single pertama Vision of Love dilancarkan. Melalui lagu ini juga, Mariah Carey memenangi Anugerah Grammy untuk kategori Best Female Pop Vocal Performance pada tahun 1991. Lagu duetnya bersama Boyz II Men kekal sebagai lagu paling lama menjuarai carta iaitu selama 16 minggu. Dia berkahwin dengan eksekutif muzik Tommy Mottola pada 5 Jun 1993 namun hubungan mereka tidak berkekalan dan bercerai pada 5 Mac 1998. Penghujung 90-an Mariah carey menerima anugerah Artist of the Decade di Billboard Music Awards dan Artist of the Millenium di World Music Awards.
SEKARANG:
Antara pop diva kegemaran ramai, Mariah masih lagi mengegarkan carta muzik. Albumnya terbarunya 1 to Infinity menampilkan lagu-lagu hit Mariah dikeluarkan pada tahun 2015. Selain menjadi ibu kepada dua orang anak Moroccan dan Monroe Cannon, dia turut melakukan persembahan residency di Caesars Palace, Las Vegas. Baru-baru Mariah turut merakam Mariah’s World iaitu siri dokumentari yang bakal disiarkan di rangkaian E! Pada 4 Disember 2016 yang menampilkan kehidupan sebenarnya. Terbaru, lagu duetnya bersama Jussie Smollett berjudul Infamous dilancarkan sempena penampilan istimewanya di dalam musim baru siri Empire.