Oleh : Muzammin Muzlan
Aidilfitri bakal menjelma. Sudahkah anda menbuat pilihan busana lebaran anda tahun ini? Lebaran ini menyaksikan barisan pereka lokal berlumba-lumba menghasilkan koleksi lebaran yang bukan sahaja cantik, harga pula tidak akan menyakitkan poket anda.
EH! menyenaraikan tujuh rekaan busana lebaran pilihan buat rujukan anda.
1. Alia B.
Alia Bastamam cukup terkenal dengan rekaan yang feminin buat wanita moden. Rekaan kali ini menampilkan ilham polos dengan suntikan fabrikasi renda pada bahagian pinggang yang unik.
2. Mimpikita
Rekaan Mimpikita jauh sekali dari membosankan. Pereka bijak bermain dengan elemen blok warna yang segar selain bermain dengan motif flora pada baju dalam mencipta look yang moden dan muda.
3. NH by Nurita Harith
Saban tahun, Nurita Harith akan hadir dengan rekaan yang sangat mengujakan. Bunga orkid menjadi pilihannya kali ini dengan bermain cetak floral yang lebih anggun. Turut hadir dalam rona merah jambu dan hitam buat yang mahukan kelainan.
4. Rizalman for Zalora
Motif batik mega mendung menjadi pilihan pereka terkenal Rizalman Ibrahim pada pementasan koleksi terakhirnya bersama Zalora. Motif klasik ini pernah digunakan pada 2005 dan kini ia digunakan semula dalam siluet yang lebih moden. Dapatkan koleksi ini sebelum sold out nanti!
5. S. Baharim
Antara koleksi yang paling mengejutkan kali ini. Kejutan positif ini hadir daripada koleksi lebaran Syaiful Baharim. Pereka bermain dengan motif geometri yang serba terkini dalam ton lembut pastel.
6. Tsyahmi
Bila kebanyakan pereka menggunakan elemen moden, label Tsyahmi pula kembali ke budaya tradisi dalam memperkenalkan ‘Alam’ iaitu sulaman emas Kelantan pada rekaan kali ini. Merah manggis pada pilihan warna membiaskan mewah rekaan ini dengan potongan moden pada lisu kipas di belakang.
7. Locka
Mungkin ramai yang masih tidak ‘mesra’ dengan label ini. Lebaran ini, Locka menghembuskan kesegaran pada pilihan cetak flora yang cukup mempesonakan. Sentuhan peplum dan ikatan pinggang menyempurnakan rekaan feminin ini.