Gambar : RotiKaya
Kecoh sebelum ini akan berita pernikahan secara senyap antara Adi Putra dan seorang wanita yang sudah bergelar janda kepada seorang anak. Lebih menggemparkan lagi apabila dikatakan Adi Putra sebenarnya menjadi punca perpisahan isteri barunya dengan suami terdahulu. Adi dan isteri keduanya bernikah pada 20 Jun lalu.
Jadi, baru-baru ini Adi Putra telah mengambil keputusan untuk mengadakan sidang media untuk memberi penjelasan penuh. Adi menafikan akan tuduhan ramai yang mengatakan dia telah menjadi punca penceraian antara isteri keduanya, Norshahida Zolkifly bersama bekas suaminya.
“Masyarakat berhak untuk menuduh saya sebagai perampas. Hakikatnya, tidak ada seorang pun yang mahu menjadi perampas. Saya anggap perkahwinan ini sebagai satu anugerah,” kata Adi di sidang media khas tersebut.
“Aida memang sudah tahu mengenai pernikahan kedua lebih awal lagi. Namun, dia enggan mendedahkannya kepada media kerana memegang amanah dan menunggu saya sendiri yang menjelaskannya. Saya bangga dan hormat pada Aida atas rasa tanggungjawabnya itu,” ulas lanjut Adi setelah ditanya adakah isteri pertamanya mengetahui akan keputusannya untuk berpoligami itu.
Adi turut meminta pihak media agar tidak menghubungi kedua-dua isterinya berhubung kontroversi ini kerana takut boleh melukakan perasaan mereka. “Sebagai ketua keluarga, biarlah saya yang menjawab segala persoalan dan menanggung akibatnya. Saya tidak mahu hati kedua-duanya dan keluarga masing-masing terguris jika persoalan ini terus diajukan kepada mereka, sekali gus isu jadi berpanjangan,” kata Adi.
Ramai juga yang mengatakan bahawa tujuan pernikahan Adi dan Shahida sebenarnya berunsurkan perniagaan dan ada juga yang mengatakan ia disebabkan zuriat. Namun, Adi turut menafikannya.
“Orang boleh kata apa sahaja kerana saya tidak boleh halang tetapi perkahwinan ini bukan kerana perniagaan atau pun anak.”
“Anak tidak pernah menjadi isu di antara saya dan isteri pertama (Aida) kerana ia bukan hak kami untuk menentukannya.”
“Untuk mendapatkan zuriat, ia bukan seperti menghantar kereta ke bengkel yang boleh siap pada bila-bila masa. Lagipun, saya tidak pernah bergaduh dengan Aida pasal anak,” katanya.
Ketika berlangsungnya majlis sidang media tersebut, lebih menggemparkan lagi pabila ia turut dihadiri oleh bekas adik ipar kepada Shahida yang bernama Farah Erliani Rahimpudin. Farah hadir ke majlis tersebut untuk memberi penjelasan atas pihak abangnya iaitu bekas suami kepada Shahida susulan sindiran Adi ke atas lelaki tersebut di media sosial.

“Saya datang ke sini bukan untuk memalukan Adi, tetapi saya cuma mahu membersihkan nama abang saya apabila Adi bertindak menyebarkan gambar dan nombor telefon abang saya di laman sosialnya. Untuk pengetahuan semua, bukan abang saya yang viralkan kisah kemelut rumah tangga beliau dengan bekas isterinya, seperti yang disangka Adi,” kata Farah.
Namun, Adi selepas itu dengan cara baik meminta Farah beredar dari majlis sidang media tersebut.