Pelakon drama Saiful Nita, Aidil Aziz kini ditahan pihak polis kerana disyaki menanam pokok marijuana atau ganja berserta memiliki senjata berbahaya. Aidil ditahan bersama dua orang lagi suspek iaitu seorang penganggur yang bernama Omar Sayeed Ghulam Mohammad dan seorang warganegara Filipina, R. Guevara Cortez.
Serbuan dilakukan di kediaman yang terletak di Jalan Ampang, pada jam kira-kira 12.30 tengah hari semalam, Aidil telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Wangsa Maju.
Menurut laporan Astro Gempak, dalam serbuan tersebut polis telah mendapati beberapa pokok ganja yang ditanam di dalam pasu dan dedaun kering yang disimpan di dalam balang kaca bersama dengan pengisar yang juga mengandungi dedaun kering yang dipercayai ganja.
Yang mengejutkan lagi, polis juga menemui tujuh bilah pedang samurai, 21 bilah pisau, empat pucuk pistol angin, dua senapang angin, sebilah kapak dan tiga buku lima. Rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM25,000.