Oleh : Farhana Fuad
Gambar: Instagram Akim Ahmad
Kumpulan pemuzik popular Akim & The Majistret turut mengambil kesempatan di bulan Ramadan yang mulia ini untuk menunaikan umrah tidak lama lagi.
Mereka bakal terbang ke tanah suci pada penghujung bulan Jun ini. Dengan berkat rezeki yang diperolehi selama ini, Akim & The Majistret menanam impian untuk ke Mekah menunaikan ibadah bersama-sama.
“Sebelum ini saya pernah ke Mekah bersama ibu bapa, tetapi tahun ini saya pergi dengan anggota kumpulan Majistret pula. Insya-Allah kami akan ke sana selama dua minggu. Sudah lama kami berniat mahu ke sana memandangkan rezeki sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini tidak pernah putus. Lagipun, kami mahu keberkatan bulan mulia ini. Saya bukan tidak mahu bawa Stacy bersama tetapi disebabkan dia baru lagi memeluk Islam, jadi masih banyak yang perlu dipelajarinya. Saya tidak mahu membebankan dirinya. Kalau boleh biarlah dia belajar satu persatu. Kalau bacaan dan sebutan ayat Al-Quran sudah lancar, kami akan pergi bersama nanti, ” kata Akim, vokalis kumpulan Akim & The Majistret kepada Harian Metro.
Gambar: Instagram Stacy Anam
Akim turut menyatakan pada akhbar tersebut yang besar kemungkinan mereka bakal menyambut perayaan Aidilfitri di Mekah. Mereka membuat keputusan untuk memanjangkan masa ketika berada di tanah suci.
Manakala, Stacy pula akan menyambut hari raya bersama keluarga Akim di Johor.