Oleh : Farhana Fuad
Minggu lalu, berita sedih dari pelakon Nadiya Nisaa yang mana bayi dalam kandungannya yang sudah sarat hampir 9 bulan didapati meninggal dunia ketika masih lagi dalam kandungan. Bayi kedua itu didapati telah tidak lagi bernyawa setelah Nadiya pergi membuat pemeriksaan di Putra Medical Centre.
Menerusi laporan Media Hiburan, Nadiya dikatakan ketika ini dalam keadaan yang sihat. Dirinya sedang berehat untuk seketika pada waktu ini kerana masih lagi bersedih akan kehilangan bayi kedua itu.
Ia dimaklumkan sendiri kepada portal tersebut oleh pihak keluarga Nadiya sendiri.
“Bagi pihak Nadiya Nisaa sekeluarga, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua untuk segala doa dan ucapan takziah yang diberikan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa berita ini amat menyedihkan, tetapi ia di luar kawalan sesiapa pun dan merupakan ketentuan Allah SWT. Mujur, Nadiya berada dalam keadaan yang sihat dan kini sedang berehat. Oleh itu, kami mohon agar semua pihak memahami situasi Nadiya dan menghormati privasi beliau sekeluarga buat masa sekarang kerana sebarang berita yg diterbitkan berkenaan apa yang telah berlaku pasti akan mengguris hati beliau. Beliau meminta jasa baik semua untuk sedekahkan Al-Fatihah buat arwah, terima kasih,” ujar individu tersebut.
Bayi tersebut telah pun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Batu Muda, Gombak. EH! ucapkan takziah buat Nadiya Nisaa dan keluarga. Semoga diberikan kekuatan dalam menempuhi dugaan berat ini.