Oleh : Farhana Fuad
Gambar : TPGimages
Angelina Jolie memfailkan penceraian dengan Brad Pitt setelah hanya dua tahun berkahwin atas sebab tiada lagi persefahaman antara satu sama lain dan pada masa yang sama Jolie mahukan hak penjagaan penuh ke atas enam orang anak mereka.
Menurut laporan media, pasangan popular ini telah pun hidup berasingan sejak beberapa bulan lalu. Jolie menumpukan pada kerja-kerja kemanusiaan, manakala Brad pula sibuk dengan projek terbarunya iaitu dengan membuka sebuah resort di Croatia.
Dokumen mahkamah yang mengandungi pemfailan cerai Jolie dan Brad dikatakan ditulis pada 15 September lepas. Jolie memilih peguam yang menguruskan proses penceraian antara Johnny Depp dan Amber Heard iaitu Laura Wasser sebelum ini untuk mengendalikan kes penceraiannya.
Sumber terdekat Brad memaklumkan “Angelina tidak gembira dengan perkahwinannya dan mahukan penceraian. Sebenarnya sudah agak lama khabar angin tentang keretakan rumah tangga mereka, tetapi kali ini hubungan pasangan ini nyata berada di tahap kritikal dan sukar untuk mencari jalan penyelesaian. Mereka selalu berhadapan dengan rentetan pertengkaran yang tiada penghujungnya berkaitan dengan masa depan mereka dan anak-anak. Akhirnya mereka langsung tidak mencapai persetujuan akan bagaimana caranya untuk membesarkan anak-anak mereka.”
Ada juga mengatakan bahawa filem arahan dan lakonan pasangan ini yang bertajuk By The Sea yang menceritakan tentang pasangan yang tidak bahagia menjadi faktor utama keretakan rumah tangga Jolie dan Brad.
Pasangan ini juga dikatakan tidak kelihatan bersama ketika tayangan perdana filem tersebut pada November tahun lalu.
Sebelum ini, Angelina sendiri pernah mengaku yang proses perfileman filem tersebut agak sukar dan menyebabkan pasangan ini mula bimbang akan perhubungan mereka.
“Brad dan saya sememangnya mempunyai isu, tetapi jika watak dalam filem tersebut terlalu dekat dengan permasalahan kami sudah tentu filem tersebut tidak akan menjadi. Kami juga lalui pertengkaran dan masalah sama seperti pasangan lain. Kami juga pernah lalui waktu-waktu sukar sehingga perlukan ruang antara satu sama lain, tetapi permasalahan yang tergambar di dalam filem tersebut bukanlah masalah sebenar kami,” jelas Angelina sebelum ini.
Tambahnya lagi, “Brad tidak pernah tahu keadaan saya setelah dia meninggalkan saya selepas kami bergaduh.”
Sejak bulan Julai lalu, Jolie dan Brad tidak lagi kelihatan bersama kala berada di tempat awam.