Atlet paralimpik yang terbang ke Rio Brazil untuk Sukan Rio Paralimpik berjaya merangkul pingat emas untuk Malaysia. Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang mewakili Malaysia untuk larian 100m T36 dan Muhammad Ziyad Zolkefli untuk acara lontar peluru serta dalam masa yang sama mencatat rekod baru dunia.
Seiring dengan kejayaan mereka, ganjaran yang dijanjikan sama seperti atlet Olimpik sebelum ini dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin turut mengumumkan Ridzuan dan Ziyad bakal diberi ganjaran setimpal dengan pengorbanan mereka. Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Nasarudin Nasimudin yang juga Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings juga telah mengumumkan kedua wira emas negara ini bakal dihadiahkan dengan sebuah kereta KIA Sportage dan juga satu unit kediaman mewah yang dibangunkan oleh kumpulan itu di Equine Park, Seri Kembangan. Selain itu mereka juga akan diberikan elaun pencen bulanan RM5,000 di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara.
Kedua-dua atlet luar biasa ini nyata membuktikan yang kekurangan upaya tubuh tidak menjadi alasan untuk mereka tidak boleh mencapai apa yang mereka inginkan seperti mana individu yang cukup sifatnya. Ridzuan adalah atlet dalam kategori cerebral palsy sementara Ziyad dalam kategori masalah pembelajaran.
Tahniah buat Ridzuan dan Ziyad atas kemenangan ini dan terima kasih untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa atas kejayaan yang dirangkul.