Oleh : Farhana Fuad
Gambar : styleblazer.com
Umumnya tahu yang ketika ini di Amerika Syarikat, tidak henti-henti kata-kata hasutan dan negatif akan agama Islam yang terlontar dari mulut Donald Trump. Bahkan ia sekaligus membuatkan ramai wanita yang berhijab di sana terpaksa mengharungi pelbagai dugaan dek kerana imej berhijab.
Namun, bagi penyanyi pop terkenal dunia kelahiran Alor Setar, Kedah, Yuna Zarai, berhijab tidak menjadi halangan untuk dirinya terus mekar di bumi Hollywood itu.
Gambar : www.star2.com
Yuna kini yang menetap di Los Angeles pernah diajukan soalan akan imejnya yang berhijab dan pernah juga disuruh untuk mengenakan pakaian seksi di sana. Tetapi bagi penyanyi popular dari Malaysia ini memilih untuk kekal berhijab walaupun kurang senang dengan perjuangan Donald Trump pada masa ini.
“Orang kata, ‘Awak patut bebaskan rambut awak. Awak tidak patut ditindas. Awak bukan lagi di Malaysia. Jadi awak patut tunjukkan bentuk tubuh badan serta banggakannya.’ Tetapi saya selesa berhijab dan saya banggakannya. Ia pilihan saya untuk menutup tubuh saya. Saya tidak ditindas. Saya tetap rasa bebas,” ujar Yuna kepada majalah hiburan Hollywood iaitu Billboard.
Yuna tidak langsung risau akan kata-kata benci yang dikatakan oleh Donald Trump. Baginya, kita boleh melembutkan hati seseorang walaupun mereka penuh dengan kebencian.
“Dia di luar sana menyebarkan rasa benci, keganasan. Ia sangat pelik kerana ia diterima di negara yang membangun dan moden ini. Tetapi saya tidak terlalu bimbang akannya. Saya rasa kita boleh melembutkan hati seseorang, walaupun mereka penuh dengan kebencian. Muzik boleh lakukannya, jika ia cantik dan jujur,” tambah Yuna lagi.