Gambar : Shutterstock
Kini, hidup baru bermula dengan adanya pasangan di sisi. Semua perlu dibincang dan diberi perhatian termasuk perihal kewangan rumah tangga. Ketahui 9 cara menguruskan wang bagi si pengantin baru melalui kehidupan perkahwinan yang teratur.
1. Mula berbincang mengenai kewangan
Seharusnya, perkara ini perlu diutarakan sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Ketahui struktur kewangan dan hutang yang dibebani masing-masing. Kalian juga perlu tahu berapa wang yang ada dalam simpanan agar anda tahu realiti sebenar apa yang anda berdua ada.
2. Catatkan matlamat
Penting untuk anda mempunyai hala tuju dalam isu kewangan rumah tangga. Seperti apa yang anda ingin lakukan dengan wang KWSP setelah akaunnya capai usia matang? Dan berapa banyak simpanan yang ingin dilakukan bagi akaun anak yang bakal lahir serta berapa jumlah yang kalian berdua akan sumbang ke dalam akaun itu?
3. Pertimbangkan akaun bersama
Ada kelebihan dan kekurangan untuk mempunyai akaun bersama. Selain boleh mengukuhkan rasa percaya kepada diri masing-masing, ia boleh mengelakkan penggunaan wang tanpa pengetahuan pasangan. Ia juga memudahkan perbelanjaan harian untuk isi rumah dan anak berlangsung secara lancar.
4. Buat akaun kecemasan
Ini adalah keperluan utama dalam menguruskan kewangan rumah tangga. Penting bagi menghadapi detik sukar yang tidak dijangka seperti kehilangan punca rezeki, bencana alam, masalah kesihatan keluarga dan sebagainya. Selain membantu anda dan pasangan dari segi kewangan, ia mengurangkan stres dan melindungi hubungan agar tidak berantakan.
5. Reka bajet
Semua perkara yang dilakukan dalam hidup perlu ada had, begitu juga dengan bajet anda sekeluarga. Tentukan berapa jumlah yang boleh dibelanjakan untuk perbelanjaan harian isi rumah, jumlah wang yang ada untuk pergi bercuti, keperluan wang untuk membeli pakaian dan sebagainya. Ini bagi mengelakkan pembaziran dan penggunaan wang secara berlebihan.
6. Elak hutang
Jangan mulakan tabiat berhutang kerana ia akan ‘menghantui’ anda sepanjang hidup, kecuali untuk pelaburan jangka masa panjang seperti pembelian rumah. Buang sikap menunjuk-nunjuk dengan membeli perabot mahal, walhal anda tidak mampu untuk membayarnya.
7. Tegur menegur
Jika anda rasakan si dia terlebih berbelanja, jangan diamkan saja. Tegur secara baik kerana jika dibiarkan, ia akan jadi ‘duri’ dalam perhubungan. Perkahwinan yang dibina bukan untuk sehari dua, malah jika jodoh berpanjangan ia kekal sehingga ke usia tua. Justeru, elak tegur secara kasar. Kemukakan bukti serta keburukan dan akibat jika si dia berterusan jadi boros.
8. Kerja berkumpulan
Rumah tangga semestinya adalah perhubungan yang berlandaskan dua hala. Kerana itu, penting untuk anda dan dia bekerjasama dalam menjayakan perihal kewangan. Saling belajar, tegur menegur dan menerima kekhilafan serta kehebatan diri masing-masing. Tiada guna jika hanya sebelah pihak bertungkus lumus menjaga sumber kewangan dan sebelah pihak lagi sibuk membazir.
9. Ketahui paras risiko
Seperti yang diketahui, pembelian rumah adalah pelaburan yang paling mahal dalam hidup. Justeru, kalian berdua harus mempertimbangkan berapa yang mampu untuk membayar ansuran bulanan. Ukur baju di badan sendiri. Jangan sesekali melabur terhadap sesuatu yang anda tidak mampu. Perbincangan secara mendalam perlu dilakukan bagi mengetahui apa akibat jangka masa panjang.