Gambar: Rizalman
Jika tahun lalu Rizalman mengarahkan Lara sebagai ‘peneman’ pelancaran koleksi ketiganya bersama Zalora, tahun ini pereka terkenal ini mengarahkan naskhah baru yang dinamakan Pulang. Dan koleksi keempat RizalmanforZalora yang dilancarkan semalam juga merupakan himpunan terakhirnya bersama gedung beli-belah atas talian tersebut. Ikuti temu bual EH! bersama Rizalman tentang Pulang dan himpunan terakhirnya.
Tiga perkataan tentang Pulang
Mempercayai rukun iman. Pulang punya mesej ketuhanan tapi disampaikan dalam bentuk biasa.
Apa yang mahu disampaikan dalam Pulang?
Kita kena percaya pada rezeki, qada’ dan qadar. Saya mahu menyampaikan tentang kasih sayang dan ketentuan. Tentang sehebat mana pun perancangan kita semuanya akan kembali pada perancangan DIA. Ia juga membuat saya sedar bahawa kita tidak boleh mengawal semuanya. Saya seorang yang mahu control semua benda (kehidupan dan bidang kerja) tapi saya sedar apa-apa pun semuanya ditentukan DIA. Dan kita perlu tahu dalam dunia ini nothing eternal. Semua benda akan ada tarikh luput.
Adakah Pulang satu mesej peribadi kepada Umar dan Aali?
Bagai saya ini adalah peninggalan arkib untuk mereka berdua. Ia juga boleh jadi satu mesej untuk orang-orang yang sama seperti saya (mengambil anak angkat), inilah kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku.
Mengapa mahu berlakon?
Rasa nak berlakon tu memang sudah ada. Teringin. Lagipun ini adalah koleksi raya terakhir saya bersama Zalora.
Bagaimana pula dengan pemilihan pelakon?
Saya memilih Marlia Musa kerana rupanya memang ada mirip Umar, terutamanya bahagian dahi dan matanya. Wan Hanafi Su pula kita memang tahu dia asal Terengganu dan boleh berdialek bahasa sana dengan sempurna. Dan saya mahu tonjolkan watak yang lebih ringkas untuknya, dia orang pengantara tapi ada impaknya.
Mudahkah meyakinkan/memujuk Umar untuk berlakon dalam Pulang?
Senang dan saya terkejut dia boleh berlakon. Dan saya rasa Umar memang ‘dilahirkan’ untuk saya, bukan saja mewarnai hidup malah melengkapkan apa yang Tuhan telah tuliskan untuk saya.
Apa lagi yang boleh anda ceritakan tentang Pulang?
Rujukan saya tentang Pulang banyak dipengaruhi filem-filem lewat 70-an dan awal 80-an kerana zaman itu orang memang rajin pergi menonton wayang. Filem-filem Tan Sri Jins Samsudin dan Dato’ Rahim Razali. Filem-filem popular era itu seperti Tiada Esok Bagimu, Esok Untuk Siapa dan Dayang Suhana. Filem era itu punya mesej moral biarpun mungkin ada kekangan kemudahan teknologi.
Bagaimana pula dengan pemilihan Dayang Nurfaizah dan Marsha?
Saya mahukan kelainan, kalau ambil Dayang sahaja ia mungkin jadi sesuatu yang dijangka. Dan saya mahukan karakter suara berbeza. Duet ini juga seperti simbol perbualan saya dan Salmah (Marlia Musa) dalam Pulang.
[soliloquy slug=”rizalman-zalora”]
Mengapa menamatkan koleksi raya bersama Zalora?
Sebab bila kita dah sampai tahap klimaks kita dah tak boleh pergi tinggi lagi. Macam kita terbang tinggi melepasi langit sekalipun dan terbukti kita takkan survive dengan mudah. Berakhirnya koleksi ini samalah macam watak saya dimatikan dalam Pulang.
Pengalaman terbaik bersama Zalora?
Pastinya pengalaman menerbitkan dua filem pendek dan dua video fesyen. Dan mula-mula dulu saya tak sangka koleksi raya saya bersama Zalora akan menjadi fenomena kerana sebagai pereka sejujurnya saya tak suka menghasilkan RTW (himpunan sedia pakai), I hate common figure, tapi pengalaman empat tahun ini memberikan saya ruang yang luas untuk saya belajar. Insya-Allah akan ada projek lebih besar selepas ini.
Jom tonton cereka pendek raya Pulang yang EH! kongsikan di bawah.
https://www.youtube.com/watch?v=SXJ2CpQHajI