Sambutan ulang tahun kedua Aaisyah Dhia Rana terpaksa diraikan di Malaysia sahaja kerana Che Ta berhadapan isu cukai tertunggak.
Gambar : Instagram Che Ta
Keluarga pelakon jelita ini, Rozita Che Wan sepatutnya terbang ke London pada Ahad lalu untuk meraikan hari ulang tahun anak perempuannya itu semalam. Menurut Che Ta, dia sudah pun membuat segala tempahan lokasi dan persiapan untuk sambutan tersebut, namun dirinya terhalang untuk ke luar negara akibat masalah cukai tersebut.
Disebabkan itu, Che Ta terpaksa membuat sambutan tersebut di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur semalam.
“Jumlah tunggakan cukai yang perlu dibayar itu besar nilainya. Saya pula belum mampu untuk menjelaskan bayarannya sekali gus. Saya juga sudah mengadakan pertemuan bersama pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri berhubung perkara ini. Mahu atau tidak, saya memang perlu menyelesaikan tunggakan berkenaan. Begitupun, buat masa ini, hendak membayar separuh daripada jumlah itu pun belum mampu saya lakukan lagi,” kata Che Ta kepada BH Online.
Bagi Che Ta, dia bersyukur yang mana Aaisyah masih lagi kecil dan belum memahami situasi tersebut kerana jika dirinya sudah besar, berkemungkinan Aaisyah boleh kecil hati dengan masalah itu.
Che Ta sebelum ini membawa keluarganya terbang ke Santorini , Greece sempena ulang tahun kelahiran anak bujangnya, Ammar Effendy.
“Sebelum ini, majlis hari lahir abangnya, Ammar, umpamanya diadakan di Santorini, Greece. Cuma nasib Aaisyah kurang baik apabila ibunya berdepan masalah pula saat ini,” kata Che Ta lagi.
EH! himpunkan gambar di sekitar majlis ulang tahun Aaisyah Dhia Rana di bawah.