Oleh : Farhana Fuad
Gambar : Knight Frank
Gambar : TPGimages
David dan Victoria Beckham akhirnya bersetuju untuk mengucapkan ‘au revoir’ selepas membuat kata putus untuk menjual rumah agam mewah mereka yang berkeluasan 200 ekar di Selatan Perancis.
Pasangan terkenal ini dikatakan agak jarang dilihat di kediaman Domaine Saint-Vincent, lebih selesa berada di London atau Los Angeles. Kini keluarga Beckham ini telah pun mula memasarkan rumah agam tersebut pada harga £2.4juta.
Kediaman mewah dengan seni bina kuno Perancis yang terletak di French Village of Bargemon itu dibeli Victoria pada tahun 2003 dengan nilai £1.5juta. Kemudiannya, bekas ahli kumpulan Spice Girl ini memperuntukkan sebanyak £5juta untuk proses pengubahsuaian kazanah yang dibina pada abad ke-19 itu mengikut cita rasa Victoria sendiri.
Dengan ini ia jelas menunjukkan yang pasangan Beckham ingin menjual rumah agam itu pada harga jauh lebih rendah dari amaun yang mereka telah laburkan iaitu sebanyak £4juta kerugian.
Menurut sejarah, rumah agam tersebut dipercayai dihantui roh mendiang pemilik kediaman yang telah mati setelah membunuh diri. Namun, dikatakan sebab Beckham ingin menjual kediaman itu adalah kerana mereka lebih memilih untuk menetap di kediaman mereka di London dan Los Angeles sahaja.
Rumah tersebut dibina dengan enam buah bilik tidur, tiga ruang legar, empat kamar mandi, bilik pembantu rumah dan kolam renang infiniti dengan permandangan luas padang rumput dan hutan hijau.
Di kawasan kediaman yang tersergam mewah ini juga terbina sebuah gereja dan pelbagai bangunan yang menawarkan potensi tambahan. Semua ahli keluarga Beckham kini menetap di kediaman di Los Angeles yang dijadikan sebagai kediaman musim panas.
EH! kongsikan gambar kediaman mewah pasangan Beckham di Perancis yang kini dibuka untuk jualan.