Oleh : Farhana Fuad
Gambar: en.wikipedia.org
Ritma lagunya sentiasa menjadi siulan dan tidak jemu menjadi halwa telinga pendengar radio mahupun buat tontonan di kaca TV. Tetapi tidak semua mengenali mereka dengan sepenuhnya. Penyanyi duo berasal dari Oslo, Norway ini Vincent Dery (Vinz) dan Nico Sereba kini semakin dikenali.
Melalui lagu hit berjudul Am I Wrong, Nico & Vinz kian popular di mata dunia. Gabungan Ivorian dan Ghanian menjadikan lagu mereka yang terhasil berlandaskan pengaruh dari genre pop ke reggae, tarian Afrika Barat ke hip hop dan rock ke soul.
Baru-baru ini, EH! telah dijemput oleh Warner Music Malaysia untuk menemu bual Nico & Vinz untuk mengenali mereka dengan lebih dekat. Ikuti temu bual eksklusif Nico & Vinz di bawah.
Saya percaya ini merupakan kali pertama Nico & Vinz terbang ke Malaysia. Jadi, bagaimanakah reaksi peminat di Malaysia?
“Apabila kami turut serta untuk melakukan persembahan di acara Electric Run baru-baru ini, kami lihat semua penonton turut menyanyikan lagu kami. Melihat penonton menari dan menyanyi boleh dikatakan mereka seperti mengambil tempat persembahan kami, ia sangat menyeronokkan serta memuaskan. Kami juga terkejut bagaimana mereka boleh tahu akan muzik kami sedangkan kami tidak terlalu dikenali. Ia merupakan satu acara yang mengujakan. It’s a great time for us so far in this music industry.” – Vinz
Bagaimana Nico & Vinz mula menceburkan diri dalam muzik industri?
” Saya sememangnya mengikuti jejak langkah ayah saya yang juga seorang pemuzik di Afrika. Saya mendengar semua muziknya sejak saya kecil lagi. Saya dilahirkan dalam dunia muzik. Cintakan muzik. Sebelum ini saya pernah cuba bermain ragbi sehingga usia saya mencecah 21 tahun. Saya sudah mula merakam lagu pertama saya ketika saya berusia 15 tahun. Ia sebuah lagu yangfun dalam genre rap. Kemudian ketika berumur 18 tahun, saya bertemu dengan Vinz melalui sahabat rapat saya yang juga merupakan pengurus kami sekarang. Kami membesar bersama-sama. Dia mengenalkan saya dengan Vinz dan di situ bermulalah kumpulan muzik Nico & Vinz.” – Nico
Namun, pada mulanya nama kumpulan kalian bergelar Envy. Jadi, apakah punca yang menyebabkan kalian memilih untuk menukar nama ke Nico & Vinz?
“Ya. Pada asalnya, kami menggelarkan kumpulan kami sebagai Envy. Sebenarnya kami mahu menjadi lebih original. Pabila kami mendapat tawaran dariapda syarikat rakaman antarabangsa kami fikir lebih elok kami menggunakan nama Nico & Vinz daripada meletakkan Envy. Nico & Vinz rasanya lebih sesuai dan sebati dengan diri kami.” – Vinz
Boleh ceritakan sebarang projek atau lagu terbaru yang sedang dihasilkan?
“Kkami berkolaborasi bersama DJ SpinKing. Kami sedang menghasilkan sebuah lagu bersamanya berjudul League of Your Own. Kami juga berkolaborasi bersama Alesso untuk lagu I Wanna Know. Dalam masa yang sama, kami sedang berusaha untuk bekerjasama dengan lebih ramai artis yang kami kagumi. Kami baru sahaja bertemu Akon di Coachella dan beberapa minggu selepas itu kami sudah pun masuk ke studio rakaman bersama Akon.” – Nico & Vinz
Apa yang Nico & Vinz sukakan tentang Malaysia?
“Saya sukakan suhu di Malaysia kerana saya sememangnya sukakan suasana tropika. Saya rasa ia mengingatkan saya pada Afrika. Saya sukakan masyarakatnya. Dan saya juga sukakan makanan di sini. Kami juga sempat mencuba beberapa jenis makanan asli Malaysia termasuk Nasi Lemak.” – Nico
“Kami juga sukakan budaya diamalkan di Malaysia kerana apa yang kami ketahui Malaysia mempunyai pelbagai bangsa, agama dan budaya. It’s cool. Apa yang saya boleh kata etnik di Malaysia sangat unik dan berbeza dengan negara lain. Ia sangat harmoni pabila melihat pelbagai bangsa, agama dan budaya menetap di satu negara.” – Vinz
Terbaru, kumpulan duo ini berjaya menghasilkan muzik video untuk lagu mereka yang berjudul Not For Nothing. Tonton video muzik Not For Nothing di bawah.