Gambar: INGimage
Langit tidak selalu cerah dan apa yang anda harapkan selalunya takkan menjadi seperti yang dirancang. Namun itu lumrah yang semua manusia akan lalui. Harus bijak dalam percaturan dan langkah agar semuanya berjalan baik. Tambahan pula jika hari yang buruk itu harus dilalui di pejabat pasti menyukarkan tetapi anda harus terus tenang dan ikut langkah kami.
1. Rehat seketika
Ramai lupa untuk mengambil masa bernafas ketika dalam kelam kabut menghadapi situasi. Masalah akan sentiasa datang menguji jadi tidak ada gunanya anda gopoh mencari solusi menyelesaikan hari malang anda sehingga lupa asas utama untuk terus bertenang. Ambil masa 10 hingga 15 minit bersendirian – makan, minum atau menikmati muzik. Kosongkan fikiran sebentar dan fikir dengan akal waras.
2. Berhenti untuk melakukan semuanya
Kadang-kadang sehari bagaikan tidak mencukupi dan ada sahaja yang salah dalam menyempurnakan satu-satu tugasan. Sekali lagi, tenang. Jangan kerana terlalu sibuk mahu menyiapkan semua kerja anda lupa untuk kekal fokus. Lakukan satu per satu dengan susunan jadual yang betul. Jika terlewat atau terlepas masa yang ditetapkan, semuanya pasti beralasan. Jangan takut mengaku kesilapan kerana apa yang pasti anda tidak boleh mengawal semua perkara.
3. Invisible Employee?
Anda merasakan diri terpinggir dan hal ini sentiasa membuatkan mood anda berubah-ubah dan mengganggu kualiti kerja? Kadang pula anda rasa serba tak kena dengan apa yang dilakukan membuatkan kadar keyakinan dalam diri semakin merudum. Ada caranya. Kate Bussman dalam artikelnya Bad Day At The Office? Menulis -“It’s about thinking like your boss. Sebelum anda masuk ke mesyuarat contohnya, fikir apa yang bakal ditanya oleh bos anda. Dengan cara ini anda akan lebih bersedia menghadapi sebarang situasi dan mampu lebih menyerlah, kuncinya adalah sentiasa bersedia.
4. Hilang minat
Saat masuk ke dalam pejabat sudah menghitung detik untuk pulang? Dan setiap apa yang dilakukan tidak lagi berlandaskan minat? Ini bukan sesuatu yang sihat. Jika minat semakin hari semakin berkurangan adalah lebih baik untuk anda fikir sedalamnya apa yang perlu anda lakukan dalam hidup. Jangan memaksa, jika perlu bercuti untuk mengambil kembali mood bekerja pergilah mengembara kerana dengan cara ini anda mampu mendapat jawapan kepada dilema kerjaya.