Oleh : Khairul Abidin
Gambar : Khairul Abidin
Jika tahun lalu Nurita Harith bermain dengan warna hitam di #KLFWRTW2015, tahun ini Nurita kembali bermain warna-warna lembut seperti mauve bersama maroon.
Nurita dilihat senang bermain dengan fabrik polos dan dia menghidupkan himpunan ini dengan potongan yang sangat feminin berserta teknik lisu (lipatan) dan sedikit percikan sulaman.
Kata Nurita inspirasi utama himpunan ini ialah Georgia Hamilton. Dia cukup tertarik pada potret Georgia menggayakan Balenciaga (gaya off-shoulder). Dan dari imej itu Nurita mengembangkan himpunan ini dengan teknik lisu dan cuba mencipta pelbagai gaya off-shoulder.
Tambah Nurita lagi dia sengaja bermain satu warna dalam satu look. Dia membuka himpunan ini dengan rona mauve (rona kegemarannya) kemudian disusuli dengan oren dan merah wain.
Potongan yang ringkas, tanpa perincian berlebih-lebih menyerlahkan lagi elemen mewah yang Nurita cuba suntikkan pada himpunan ini menerusi penggunaan sutera sebagai fabrik utama.
Apa yang boleh disimpulkan tentang himpunan yang dinamakan sebagai Le Georgia ini, ia cukup romantik, sangat feminin dan elegan.