Oleh: Farhana Fuad
Gambar: Instagram Elizad Sharifuddin
Aktres terkenal, Elizad Sharifuddin telah menjadi juara untuk program Gempak Superstar musim pertama. Program terbaru Astro ini berlangsung di Pinewood Studio, Johor Bahru dan telah bersiaran di Astro Ria sejak 10 April yang lalu selama enam minggu.
Elizad membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi. Tempat kedua jatuh kepada Sherry Ibrahim yang menunjukkan prestasi menakjubkan menerusi lagu Janji Manismu dan Tak Ada Logika. Sherry membawa pulang wang tunai sebanyak RM25,000 dan sebuah trofi. Bukan itu sahaja, Sherry turut mendapat Anugerah Terlajak Gempak Superstar.
Arja Lee pula berada di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM15,000 dan trofi. Manakala di tempat ke-4 dan ke-5 adalah milik Soffi Jikan dan Nazim Othman. Soffi dan Nazim menerima wang tunai sebanyak RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi.
Pemarkahan untuk Gempak Superstar diadili 50% dari juri tetap termasuklah Ogy Datuk Ahmad Daud, Amy Mastura dan Datuk Yusof Haslam yang bertindak sebagai juri jemputan. Baki 50% lagi dinilai berdasarkan undian daripada penonton melalui undian SMS.
EH! ucapkan tahniah buat Elizad Shariffudin, Sherry Ibrahim, Arja Lee, Soffi Jikan dan Nazim Othman!