Oleh : Khairul Abidin
Gambar : Sumber Google
Apa yang saya suka bila tiba musim anugerah ialah melihat gaya solekan dan dandanan selebriti Hollywood. Selain gaun-gaun couture, solekan dan dandanan juga sangat penting kerana tanpa solekan yang cantik, apa yang tersarung pun susah hendak menyerlah.
Seronoknya ,melihat anugerah yang membabitkan pelakon ialah kita berpeluang melihat pesona mereka yang sebenar di karpet merah, berbanding penyanyi, pelakon biasanya menajdi orang lain di kaca TV, berpandukan watak yang dilakonkan. Tidak pula penyanyi, mereka membawa diri mereka baik di pentas juga di karpet merah.
Malam tadi (waktu di Amerika) Emmy Awards berlangsung buat kali ke-68. Karpet merah di anugerah yang mengangkat pembikin program TV Hollywood ini juga tidak kalah dalam menampilkan gaya-gaya menarik bintang televisyen.
Saya memilih lima selebriti dengan gaya solekan yang berbeza-beza. Kelima-lima ini pada saya punya tarikan tersendiri biarpun ada yang saya pilih ini bagaikan tidak bersolek.
Alia Shawkat
Apa yang saya suka tentang bintang Arrested Developement dan The Final Girls ini ialah dia ‘mengangkat’ apa yang dia ada. Dia membiarkan saja freckles wajahnya. Rambut keritingnya juga kemas bergulung.
Emily Ratajkowski
Teknik, warna dan gaya solekannya ini saya fikir memang mesra dengan selera orang kita. Solekan mata yang berat (namun saya kira tetap menarik) yang mencampurkan pembayang mata hijau kebiruan bersama hitam. Salutan gincu pusam menyeimbangkan solekan ini. Efek kontur juga dilihat jelas dalam solekan ini.
Kerry Washington
Sekali imbas saya sangkakan Diana Ross. Kerry yang sedang sarat hamil tampil berseri dengan solekan nude, dan rambut keritingnya itu yang menjadi daya penarik pada penampilannya kali ini.
Mandy Moore
Penyanyi yang kini aktif berlakon tampaknya selesa menjadi diri sendiri. Dia yang sering tampak effortless, nampak malas-malas saja gayanya. Dia yang membintangi This Is Us menambah ceria penampilannya dengan calitan gincu oren.
Priyanka Chopra
Tiada kelainan, tidak banyak berbeza namun saya suka inisiatif Priyanka untuk tampil minimalis. Ia menyerlahkan lagi penampilannya, dan dia tidak nampak tua seperti penampilannya sebelum ini. Cukup sekadar bergincu merah cili dia sudah nampak berseri-seri. Simple and stunning!