Gambar : Instagram Fahrin Ahmad
Fahrin Ahmad dan isteri, Elena Eleas selamat menimang cahaya mata pertama mereka. Dalam masa yang sama, Elena turut meraikan hari ulang tahunnya yang ke-39.
Pasangan sama cocok sama padan ini menyambut kelahiran anak lelaki mereka yang dilahirkan secara normal pada jam 4.15 petang semalam di KPJ Damansara Specialist.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri oleh Fahrin menerusi laman Instagram miliknya dengan sekeping gambar kelahiran bayi sulungnya itu.
Aktor popular ini turut menyatakan rasa bersyukurnya kerana segalanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segala urusan kerana isteri dan anaknya itu selamat tanpa sebarang komplikasi.
Dirinya juga berasa teruja akan pengalaman pertama kali dalam menyambut anak sulungnya itu. Dilihat menerusi Instagram milik pelakon ini, dalam masa selepas proses bersalin, isterinya turut dihadiahkan dengan sejambak bunga dan sebiji kek sempena hari kelahirannya yang juga berkongsi tarikh dengan si comel mereka itu yang masih belum diberi nama setakat ini.
EH! ucapkan tahniah buat Fahrin dan Elena. Semoga kehadiran bayi pertama ini bawa lebih banyak kebahagiaan dalam rumah tangga kalian.