Selain jalan cerita dan karakter yang mencuri perhatian, filem remaja turut memainkan peranan dalam membentuk trend fesyen pada setiap era. Daripada gaya preppy yang cukup ikonik hinggalah estetika goth dan Y2K, penampilan watak-wataknya sering menjadi inspirasi kepada cara generasi muda berpakaian.
Menariknya, beberapa trend yang diperkenalkan menerusi filem era 80-an, 90-an dan awal 2000-an masih relevan sehingga hari ini. Potongan blazer berstruktur, mini skirt, baby tee dan aksesori statement antara gaya yang kembali mendapat perhatian dalam dunia fesyen.
Jom ikut EH! Intai lima teen movies yang meninggalkan pengaruh tersendiri terhadap gaya pemakaian kita.
1. Heathers (1988)
Sebelum Mean Girls memperkenalkan budaya kumpulan popular di sekolah, Heathers sudah terlebih dahulu menjadikan fesyen sebagai simbol status sosial. Filem ini menampilkan gaya preppy era 80-an menerusi blazer berstruktur dengan bahu besar, skirt berlipat dan stoking berwarna terang.
Menariknya, setiap ahli kumpulan The Heathers mempunyai warna tersendiri seperti merah, hijau dan kuning. Pemilihan warna ini bukan sekadar melengkapkan penampilan, malah menggambarkan kedudukan setiap karakter dalam kelompok mereka.
Pengaruh gaya ini masih boleh dilihat menerusi trend power dressing hari ini, khususnya blazer berpotongan tegas, skirt pendek dan padanan warna yang lebih berani.
2. Clueless (1995)
Bercakap tentang fesyen remaja era 90-an, Clueless sememangnya antara filem yang cukup ikonik. Watak Cher Horowitz, lakonan Alicia Silverstone, memperkenalkan gaya preppy yang sinonim dengan set skirt dan blazer kotak-kotak kuning, padanan warna terang serta siluet yang kemas.
Di bawah sentuhan pereka kostum Mona May, penampilan Cher menjadi antara rujukan fesyen remaja yang paling diingati. Selain set co-ord, filem ini turut menampilkan mini skirt, knee-high socks dan layering yang memberikan sentuhan feminin serta playful.
Sehingga kini, estetika Clueless masih menjadi inspirasi, terutama menerusi padanan skirt kotak-kotak, cardigan dan loafers yang kembali popular dalam gaya preppy moden.
3. The Craft (1996)
Jika Clueless sinonim dengan gaya feminin dan kemas, The Craft pula membawa sisi fesyen yang lebih gelap menerusi estetika goth dan punk era 90-an.
Watak Nancy Downs antara yang paling menonjol dengan penampilan serba hitam, jaket kulit, fishnet top, choker berduri, combat boots serta solekan bibir gelap. Gaya ini mencerminkan sisi r
ebellious yang berbeza daripada trend fesyen remaja arus perdana ketika itu.
Pengaruhnya masih terasa dalam dunia alternative fashion hari ini. Elemen seperti leather jacket, aksesori perak, kasut chunky dan solekan gelap terus menjadi pilihan mereka yang gemarkan penampilan lebih edgy.
4. 10 Things I Hate About You (1999)
Menariknya, 10 Things I Hate About You menampilkan dua identiti fesyen yang cukup berbeza menerusi watak adik-beradik Kat dan Bianca Stratford. Kat lebih cenderung kepada gaya grunge dengan cargo pants, tank top gelap dan kasut terpakai. Penampilannya ringkas, sedikit rebellious dan tidak terlalu mengikut trend semasa.
Sebaliknya, Bianca membawa gaya yang lebih feminin menerusi baby tee pastel, kasut platform dan skirt floral. Perbezaan ini menggambarkan dua sisi fesyen remaja pada penghujung 90-an, daripada estetika alternatif hinggalah gaya komersial yang lebih popular.
Kedua-dua gaya ini masih relevan sehingga kini. Cargo pants dan tank top terus menjadi pilihan untuk penampilan kasual, manakala baby tee serta kasut platform kembali mendapat tempat dalam trend Y2K.
5. Mean Girls (2004)
Rasanya tidak lengkap senarai ini tanpa Mean Girls, filem yang cukup sinonim dengan fesyen awal 2000-an. Kumpulan The Plastics yang diketuai Regina George memperlihatkan gaya feminin dengan warna merah jambu, mini skirt, baby tee berlogo dan velour tracksuit.
Malah, dialog ikonik “On Wednesdays we wear pink” menjadikan warna tersebut sebahagian daripada identiti filem ini. Penampilan mereka turut mencerminkan budaya fesyen Y2K yang cukup dipengaruhi trend pusat beli-belah dan jenama popular pada era tersebut.
Dua dekad kemudian, estetika ini kembali mendapat perhatian menerusi kebangkitan trend Y2K. Mini skirt, fitted tops, padanan warna pastel dan aksesori playful kini kembali digayakan dengan sentuhan yang lebih moden.
Artikel Berkaitan: Psycho Freaks, Ini Filem A24 Yang Wajib Masuk Watchlist Anda!
