Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH 37) tampil sebagai malam penuh glamor apabila barisan artis tanah air beraksi bukan sahaja dengan bakat, tetapi juga gaya fesyen yang memukau.
Bertemakan “SATU Keunggulan”, acara eksklusif yang berlangsung di Premiera Hotel, Kuala Lumpur ini menyaksikan artis-artis hadir menggayakan busana elegan, moden dan berkarakter, mencerminkan identiti serta aura bintang masing-masing.
Karpet merah menjadi tumpuan dengan penampilan berani dan sofistikated para artis yang hadir. di ABPBH 37. EH! kongsikan beberapa gaya fesyen selebriti tanah air yang berjaya memukau mata pencinta fesyen selari dengan tema yang diketengahkan untuk edisi kali ini.
Heliza Helmi
Penampilan Heliza Helmi ini menyerlahkan keanggunan yang tenang dengan busana serba putih rekaan Eja Shahril. Siluet longgar dan berlapis dipenuhi dengan perincian motif tradisional pada bahagian hem, pinggang dan kepala, mencipta keseimbangan antara warisan dan sentuhan kontemporari.
Ernie Zakri
Gaya Ernie Zakri begitu anggun dengan gaun rona ungu pastel rekaan Teh Firdaus. Potongan flowy yang anggun dipadukan dengan drape lembut, menyerlahkan gaya sopan dan elegan yang memikat.
Hijab dipadankan ringkas bagi menyeimbangkan keseluruhan busana.
Shaza Bae
Shaza Bae hadir dalam gaun malam custom-made rekaan Arunsayfull Desiree. Siluet mermaid yang memukau diperkaya dengan sulaman mewah dan tekstur lembut bernuansa putih ke pastel merah jambu, menjadikan penampilannya elegan dan sofistikated.
Daiyan Trisha
Gaya Daiyan Trisha begitu elegan dengan gaun rekaan pereka Indonesia, Ernesto Abram. Siluet klasik bernuansa keemasan diperkaya dengan drap dan sulaman halus, menyerlahkan aura mewah dan sofistikated. Keseluruhannya, penampilan Daiyan menonjolkan gaya anggun yang berkelas, seiring dengan statusnya sebagai bintang ternama di pentas berprestij.
Emma Maembong
Emma Maembong tampil anggun di ABPBH mengenakan gaun labuh rekaan TUNKs RTW berwarna biru pastel berkilau dengan potongan satu bahu asimetri, perincian manik halus pada fabrik sheer, draping di pinggang serta ekor kain yang memberikan sentuhan elegan dan mewah.
Sweet Qismina dan Adam Lee
Sweet Qismina dan Adam Lee tampil memukau di ABPBH dalam persalinan rekaan Zaimi Zulkafli yang sarat sentuhan tradisional dan seni nusantara, daripada perincian songket, sulaman akar pokok, ikatan selendang hingga elemen simbolik di bahagian belakang busana Sweet yang membawa makna kebebasan.
Manakala busana Adam pula tampak kacak dengan inner outfit berinspirasikan baju Melayu, membuktikan setiap perincian direka penuh rasa dan memahami apa yang paling sesuai untuk mereka berdua.
Baca:Senarai Pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 37











