Berakhir sudah Minggu Fesyen Paris yang menyaksikan pelbagai rekaan busana terbaru dan unik termasuk gaya jean turut kelihatan digayakan oleh selebriti Hollywood malah selebriti Malaysia.
Paris, pusat bandar fesyen global yang terkenal dengan kemewahan dan keanggunan, sentiasa menjadi pusat perhatian para selebriti dari seluruh dunia untuk memperagakan busana mewah mereka di bahu jalanan mahupun restoran terkenal. Lensa kamera yang tidak henti merakamkan Minggu Fesyen Paris, salah satu acara paling dinanti-nantikan dalam industri fesyen, dan ia sering menjadi platform terbaik untuk selebriti menunjukkan gaya mereka yang unik.
Dari jauh, EH! mengikuti gaya selebriti Malaysia, yang mempunyai impak dalam dunia fesyen antarabangsa turut memperagakan jean yang mencuri perhatian di Minggu Fesyen Paris.
1. Christinna Kuan
Christinna Kuan adalah seorang pempengaruh terkenal yang dikenali dengan pakaian yang sentiasa mencuri tumpuan. Di Minggu Fesyen Paris, Christinna memilih untuk memakai top panel unik yang memukau dengan padanan corak dan warna yang segar. Pilihan ini menunjukkan jean boleh divariasi dalam pelbagai gaya unik, bukan hanya semata jaket jean dan korset jean, malah ia boleh dibentuk dalam gaya panel yang unik terus memberi impak fesyenista yang berani dalam eksperimen gaya.
2. Daiyan Trisha
Daiyan Trisha antara selebriti Malaysia yang terkenal dengan personaliti yang penuh pesona memilih pakaian semi-kasual yang tetap menampilkan gaya yang memukau. Sepetang di Paris, Daiyan memilih gaya pakaian seperti fit-blazer dengan seluar pendek jeans paras lutut dan tumit rendah yang memberikan kesan santai tetapi tetap kelihatan fesyen. Gaya ini menyatukan unsur-unsur keselesaan dan fesyen dengan begitu baik.
3. Alvin Chong
Bukan di New York, tetapi ini adalah foto yang dimuat naik oleh Alvin di Instagramnya di Paris. Antara selebriti lelaki yang mendapat banyak undangan Minggu Fesyen Paris, Alvin menghabiskan minggu akhirnya di Paris dengan menaiki Kereta api Metro Paris dengan gaya selesa dan bersahaja – kemeja T (tidak berbutang), tank top dalaman dan seluar jean lengkap dengan perhiasan rantai dan subang telinga memberikan impak ‘bad boy in Paris’.
4. Ameera Khan
Siapa yang tidak kenal dengan adik kepada usahawan dan selebriti terkenal, Noor Neelofa iaitu Ameera Khan atau lebih dikenali sebagai LMK (Little Miss Khan). Beliau sering memuat naik gambar estetik dan gaya hidup mewah di luar negara. Gaya santainya di Paris mencuri perhatian dengan gaya bersahaja yang selesa, kardigan jalur dan seluar jean yang simple memberikan vibe tenang.
5. Eyka Farhana
Si jelita Eyka Farhana juga tidak ketinggalan dalam menggayakan fesyen terbaiknya di Paris. Antara padanan yang unik, Eyka berjaya menampilkan rupa clean padanan Tweed dan seluar pendek jean hiasan kristal di bibir poket. Eyka menambah sentuhan moden dengan aksesori seperti kasut tumit tinggi yang mengagumkan dan tas tangan warna padanan Tweed untuk kelihatan menonjol.