Activewear bukan lagi eksklusif untuk ke gim. Kini, ia menjadi pilihan utama wanita moden yang mahukan gabungan keselesaan dan gaya dalam satu helaian.
Dalam era di mana kesihatan dan gaya hidup aktif menjadi keutamaan, pakaian senaman atau activewear telah berkembang daripada sekadar keperluan di gim kepada elemen penting dalam fesyen harian. Ia bukan sahaja menawarkan keselesaan dan prestasi untuk pelbagai aktiviti seperti yoga, larian atau senaman harian, tetapi juga menyerlahkan gaya peribadi yang moden dan versatil.
Dipengaruhi oleh selebriti dan ikon fesyen global, activewear kini menjadi simbol keseimbangan antara fungsi dan penampilan, membolehkan pemakainya tampil bergaya sambil kekal aktif dan selesa sepanjang hari. Jika anda sedang mencari jenama activewear yang menawan hati dan berfungsi seiring gaya hidup aktif anda, ini senarai jenama lokal yang patut anda perhatikan, pilihan yang mengutamakan kualiti, gaya dan keselesaan.
FLOE Active
Dicipta untuk wanita moden yang menghargai gaya minimalis dan prestasi dalam satu helaian. FLOE Active terkenal dengan potongan yang clean dan siluet yang memeluk tubuh dengan sempurna tanpa mengorbankan keselesaan. Direka oleh wanita untuk wanita, jenama ini menitikberatkan bahan bernafas dan teknologi fabrik anti-peluh, ideal untuk sesi senaman yang intensif mahupun sekadar brunch selepas yoga. Estetiknya? Sleek, ringkas, dan mudah dipadankan dengan apa jua gaya peribadi anda.
Liberty Active
Salah satu pelopor pakaian aktif tempatan, Liberty Active menawan hati ramai dengan rekaan yang feminin, polished dan sangat versatile. Direka untuk wanita aktif yang sentiasa bergerak dari satu agenda ke satu lagi—dari gim ke pejabat ke majlis kasual—setiap koleksi mereka menampilkan potongan yang menyanjung bentuk badan, fabrik lembut yang mudah regang, serta pilihan warna yang sophisticated. Nama ‘Liberty’ sendiri melambangkan kebebasan bergerak dan berekspresi tanpa kompromi.
Re:Health
Re:Health ialah jenama activewear yang mengutamakan gaya hidup sihat dan aktif dengan menawarkan pakaian sukan yang bergaya, selesa, dan berfungsi tinggi,
direka khas menggunakan fabrik berkualiti seperti bahan yang bernafas, mudah regang, serta menyerap peluh, jenama ini sesuai untuk pelbagai aktiviti seperti senaman, yoga, larian mahupun gaya kasual harian, menjadikannya pilihan ideal bagi individu moden yang mementingkan keselesaan, penampilan dan kesejahteraan diri.
Livlova
Anggun, lembut dan penuh jiwa feminin—itulah DNA Livlova. Pakaian aktif dari jenama ini memikat dengan rekaan yang halus dan potongan yang menyerlahkan kewanitaan tanpa berlebihan. Ideal untuk yoga, barre, atau berjalan santai di taman, Livlova memberi penekanan kepada fabrik yang ringan, aliran udara yang baik, dan warna-warna pastel menenangkan. Ia sesuai untuk mereka yang sukakan keseimbangan antara kekuatan dalaman dan kelembutan luaran.
Hwoofit
Gabungan teknologi dan gaya, Hwoofit terkenal dengan pakaian senaman yang direka untuk prestasi tinggi. Direka untuk menyokong pergerakan dinamik dan menyesuaikan diri dengan tubuh, jenama ini sesuai untuk aktiviti berintensiti tinggi seperti larian, HIIT, atau senaman berasaskan kekuatan. Tambahan pula, potongan dan warna yang moden menjadikan anda tetap tampak bergaya walaupun selepas sesi berpeluh.