Dengan sentuhan styling yang tepat, outfit yang ringkas pun boleh nampak luar biasa. Ini lima tip yang boleh anda cuba untuk tampil lebih menyerlah di pagi Raya.
Selendang sebagai Statement Piece
Selendang menjadi antara trend paling hangat tahun ini. Namun, pemilihannya perlu selari dengan baju raya anda. Jika baju anda polos (plain), pilih selendang bercorak untuk menambah elemen menarik. Jika baju sudah sarat dengan corak, selendang plain atau jenis berperincian seperti manik (beaded) adalah pilihan terbaik.
Nak tampil lebih berani? Cubalah gaya pattern on pattern, asalkan warna masih harmoni, anda pasti nampak chic dan stylish.
Tas Tangan Kecil atau Clutch yang Elegan
Untuk melengkapkan gaya raya, tas tangan kecil atau clutch adalah pilihan paling sesuai. Tidak perlu beg bersaiz besar kerana ia boleh ‘menenggelamkan’ keseluruhan outfit anda. Pilih saiz yang minimal tetapi cukup untuk barang penting, ia memberi sentuhan elegan dan kemas pada penampilan.
Korset untuk Siluet Lebih Menarik
Bagi anda yang menggayakan kebaya, korset adalah antara styling yang patut dicuba. Ia mampu menyerlahkan bentuk badan dan memberi siluet yang lebih anggun. Namun, tidak semua kebaya sesuai digayakan dengan korset, kebaya yang mengikut bentuk badan lebih sesuai berbanding potongan longgar seperti kebarung.
Alternatifnya, anda juga boleh menggunakan selendang sebagai ‘korset’ untuk gaya yang lebih kreatif dan moden.
Aksesori yang Berlapis (Layering)
Aksesori memainkan peranan besar dalam menaikkan seri penampilan. Cuba teknik layering seperti rantai berlapis, gelang, dan cincin untuk efek yang lebih menonjol. Tambahkan anting-anting yang sesuai, dan anda pasti akan mencuri perhatian di pagi raya.
Stokin sebagai Elemen Unik
Ya, stokin! Walaupun jarang diberi perhatian, stokin boleh menjadi elemen styling yang unik. Pilih stokin jenis sheer, lace atau bercorak untuk memberikan sentuhan berbeza. Mungkin nampak berani, tetapi percayalah, ia boleh menjadikan gaya anda lebih standout dan fashionable.















