Mampu mempengaruhi dan menginspirasi jutaan orang dengan hanya beberapa klik, pempengaruh digital memainkan peranan penting dalam menggariskan apa yang dianggap “trending.” Memiliki sebilangan besar pengikut setia yang tidak sabar menanti setiap muat naik dari mereka, menjadikan ia satu kelebihan dalam dunia media sosial.
Ramai pempengaruh digital yang telah memelopori ruang media sosial dan memberikan pelbagai inspirasi khususnya dalam berfesyen. Kehadiran mereka dalam platform seperti Instagram, YouTube dan TikTok mencetuskan trend fesyen, memperkenalkan jenama-jenama baru, dan menghasilkan keuntungan yang besar dalam industri fesyen.
Dengan membina reputasi yang kukuh sebagai pempengaruh, mereka mampu membentuk imej yang memikat di kalangan peminat, sekaligus menjadikan mereka rakan sebaya dalam dunia fesyen digital. EH! kongsikan dengan anda, tujuh gaya denim pempengaruh digital fesyen yang boleh anda jadikan sebagai inspo!
1. Johanis Sani
Memiliki jenama fesyen tersendiri sudah cukup membuktikan minatnya yang mendalam terhadap fesyen. Imejnya yang berani sering mencuri perhatian pengemarnya. Dengan lebih 170,000 pengikut di YouTube, Johanis atau lebih mesra disapa Jo gemar mengayakan seluar jean jenis jorts, gabungan antara seluar jean dan hot pants sebagai pilihan pakaian yang berani dan versatil, memberikan penampilan yang santai dan moden.
2. Christinna Kuan
Namanya semakin dikenali selepas dia memberi impak kepada industri fesyen, berjaya menarik perhatian jenama tempatan dan antarabangsa. Dia sentiasa tampil dengan gaya tersendiri dan unik apabila menyusun dan mencipta kandungan untuk media sosialnya, itulah sebabnya dia sering dilihat dalam majalah dan bekerjasama dengan jenama terkenal dunia. Dalam salah satu muat naiknya, Christian Kuan dengan yakin mempamerkan gaya serba denim, mengenakan jaket, korset dan skirt mini denim yang sepadan, mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang ikon fesyen digital.
3. Maya Letisha
Gadis cantik yang merupakan anak kepada bekas personaliti TV, Sharifah Shawati ini suka berkongsi selera fesyennya di Instagram. Mengambil jurusan fesyen di salah sebuah Universiti di London, United Kingdom, menjadikan ia salah satu kelebihan yang dimiliki oleh Maya letisha.
Gayanya dilihat versatil dan up-to-date membuatkan Maya mempunyai pengikut yang ramai di instagram. Dalam salah satu siarannya, Maya kelihatan bergaya dengan jaket kulit coklat dan seluar jean dengan potongan unik yang menyerlahkan lagi gaya keseluruhan dan dipadankan pula dengan but hitam kulit yang sememangnya memberikan gaya yang edgy dan stylo.
4. Nicole Chen
Anda mungkin pernah melihat gadis yang berasal dari Kuala Lumpur ini muncul di TikTok anda. Memiliki minat terhadap fesyen membuatkan Nicole menjadi inspirasi kepada ramai orang yang suka mengikuti trend terkini. Dia bukan sahaja pandai mengekspresikan dirinya melalui fesyen dan kecantikan.
Gayanya yang berani dan serba boleh menarik perhatian ramai,. Salah satu penampilannya yang menyerlah ialah apabila dia menggayakan vest denim yang dipadankan dengan seluar jean patchwork dalam warna denim yang berbeza, mempamerkan selera fesyennya yang unik.
5. Aisyah Razip
Agak luar biasa apabila direnungkan bagaimana berkongsi rutin harian di YouTube, dengan menggunakan nama samaran Cupcake Aisyah, telah melimpahkan rezeki kepada pemilik nama sebenar Aisyah Razip. Sering berkongsi pilihan fesyennya yang bersahaja melalui pelbagai platform media sosial terutama Instagram, antara ensembel pilihannya ialah pakaian santai yang selesa, di mana dia memilih baju kemeja crop denim diiringi seluar pendek denim putih, yang menaikkan estetika kasualnya ketika menaiki penerbangan.
6. Athina Kamarudin
Figura yang boleh dikatakan masih baru dalam bidang peragaan, Athina Kamarudin telah menghiasi pelbagai landasan dengan kehadirannya yang mempesonakan. Merupakan model dibawah naungan agensi The Models Lab KL, dia dengan mudah menggabungkan bakatnya yang tersendiri dan mengukuhkan statusnya sebagai pempengaruh digital.
Apa yang benar-benar membezakan Athina ialah keupayaan semula jadinya untuk memancarkan keaslian, dengan menjelmakan estetikanya yang luar biasa. Mengenakan gaun denim yang memancarkan suasana santai dan tidak formal, Athina dengan mudah memikat semua mata yang melihatnya.
7. Fyra Al-yahya
Hanya dengan melihat Instagramnya, jelas kelihatan Fyra Alyahya sangat meminati fesyen dan kecantikan. Setiap siaran yang dia kongsikan tidak pernah membosankan dan dia sentiasa kelihatan bergaya dan estetik. Gadis cantik berketurunan Arab ini, mendapat inspirasi fesyennya daripada trend terkini. Dia suka mencuba perkara baru dan tidak takut untuk menonjol.
Memakai tee polos hitam ringkas dan seluar jean hitam, gaya minimanya memberikan suasana gaya yang classy. Dia juga nyatakan tidak mempunyai kegemaran di dalam almarinya, tetapi jika dia terpaksa memilih, seluar jean akan menjadi gaya pilihan hariannya.
Artikel Berkaitan: Denim Pilihan Gaya Harian Gen Z